BERITA ABPBH

Saya, Bella macam adik abang - Zamarul

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas dua episod drama Aku Tanpa Cintamu disiarkan TV3, bintang utama, Zamarul Hisyam, 51, menerima reaksi kurang senang terhadap gandingannya bersama Bella Astillah, 28.

Selain menganggap gandingannya bersama Bella tidak serasi di televisyen (TV), ada penonton berpendapat tidak manis mereka digandingkan kerana masing-masing sudah berumah tangga.

Zamarul berkata, lakonannya sebagai Adam, suami kepada watak Nuha lakonan Bella dalam drama itu mendapat keizinan suami Bella, Aliff Aziz.

"Saya baca di lnstagram (IG) ada yang pertikai Bella adalah isteri orang dan saya, suami orang.

"Terus terang saya katakan, apabila kami bekerja, kami tahu batasan.

"Ketika berada di set penggambaran juga, Aliff sentiasa menemani Bella. Malah, kadang-kadang, saya dan Aliff bersembang bersama.

"Sebagai pelakon 'senior', saya minta izin Aliff. Saya bersyukur Aliff faham.

"Namun, saya dan Bella cuba elak adegan bersentuhan melainkan untuk beberapa babak," katanya.

Namun, kata Zamarul, dia menganggap apa yang dibuat tidak lebih daripada hubungan abang dan adik.

"Dalam setiap babak bersentuhan yang tidak dapat dielak, adegan pegang itu lebih kepada abang dan adik.

"Lakonan saya dengan Bella tidak ubah seperti hubungan abang dan adik," katanya pada sidang media virtual baru-baru ini.

Zamarul kembali beraksi sebagai hero selepas kali terakhir menerusi drama Bahagia Bukan Bidaan bersama Nora Danish dan Datuk Adi Putra pada 2019. - Foto Ihsan TV3
Zamarul kembali beraksi sebagai hero selepas kali terakhir menerusi drama Bahagia Bukan Bidaan bersama Nora Danish dan Datuk Adi Putra pada 2019. - Foto Ihsan TV3

Drama Aku Tanpa Cintamu berkisar pelakon bercita-cita tinggi, Nuha jatuh cinta dengan pengarah terkemuka, Adam. Namun, Adam mengawal hidup Nuha.

Zamarul mengaku selesa bekerja dengan Bella biarpun kali pertama digandingkan.

"Hubungan kami sudah seperti keluarga. Itu yang seronok.

"Apabila kami berbincang mengenai skrip, semangat jadi berkobar-kobar hendak buat yang terbaik.

"Sebelum berlakon, Bella beritahu dia agak gugup. Terus terang saya mengaku teruja bekerja dengannya.

"Sebenarnya, Bella sangat hebat, jadi kena tonton drama ini untuk tahu," katanya.

Drama bersiri Aku Tanpa Cintamu sebanyak 15 episod terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd, diarah Emi Suffian yang disiarkan slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 10 malam, mulai 15 September lalu.

Drama ini juga boleh distrim secara langsung di www.tonton.com.my.

Zamarul kembali beraksi sebagai hero selepas kali terakhir membawa watak itu menerusi drama Bahagia Bukan Bidaan bersama Nora Danish dan Datuk Adi Putra pada 2019.