BERITA ABPBH

Sambut 2023 bersama Agungnya Cinta

06 Jan 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Menghayati alunan nasyid sambil menyelami sirah Nabi Muhammad SAW menjadi antara pengalaman manis penonton Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbeza daripada kebanyakan acara ambang tahun baharu yang cenderung menyajikan hiburan semata-mata, konsert itu mempunyai kelainan tersendiri, malah memberi makna besar buat penonton.

Konsert yang sarat dengan ilmu itu boleh diibaratkan sebagai medan muhasabah dan persediaan terbaik buat penonton untuk mendepani pancaroba 2023 dengan jiwa yang lebih tenang.

Perkongsian ilmiah dan diselangselikan dengan persembahan beberapa kumpulan nasyid popular tanah air berjaya menghurai makna sebenar di sebalik nama konsert berkenaan.

Penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid membuka tirai dengan membawa penonton menjelajah sejenak zaman Nabi Muhammad mula mengatur langkah menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok tanah Arab.

Ustaz Don yang terkenal dengan kepetahan berbicara, membuat penonton hanyut dalam kisah yang begitu menginsafkan.

Malah, tempoh 10 minit yang diperuntukkan untuk sesi itu seolah-olah tidak mencukupi untuk memberi tafsiran sebenar perjuangan Baginda.

Raihan membawa lagu Iman Mutiara sebelum diikuti dengan Sesungguhnya berkolaborasi dengan Naim Daniel. - NSTP/Asyraf Hamzah
Raihan membawa lagu Iman Mutiara sebelum diikuti dengan Sesungguhnya berkolaborasi dengan Naim Daniel. - NSTP/Asyraf Hamzah

Selang beberapa detik, kumpulan UNIC dibarisi Bazli Hazwan, Fakhrul Radhi dan Fitri Haris tampil mendendangkan lagu berjudul Fatimah disusuli Zinnirah.

Persembahan itu menjadikan suasana lebih hangat selain menyuntik semangat penonton untuk terus bersama hingga ke penghujung konsert.

Tidak cukup itu, kumpulan vokal berharmoni, Mirwana menyambung kemeriahan acara dengan untaian lagu keramat berjudul Aku Tanpa Cintamu yang diterbitkan pada 2004.

Mirwana yang ketika ini dibarisi Along, Akmal, Hafiz, Ikram, Naim dan Faiz turut mengambil peluang untuk membawa lagu Khalifah Pertama dan Hikmah Kembara yang cukup mengimbau nostalgia lalu.

Kumpulan nasyid 'otai', Raihan turut bersama penonton pada malam itu dengan alunan zikir yang menjadi nadi mereka sejak dahulu lagi.

Selain itu, Raihan membawa lagu Iman Mutiara sebelum diikuti dengan Sesungguhnya hasil kolaborasi dengan penyanyi Naim Daniel.

Persembahan memukau itu mendorong penonton untuk bersama menyanyikannya dengan penuh bersemangat.

Tirai persembaha ditutup dengan lagu Junjungan Mulia yang dinyanyikan semua kumpulan nasyid yang terbabit dalam Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda. - NSTP/Asyraf Hamzah
Tirai persembaha ditutup dengan lagu Junjungan Mulia yang dinyanyikan semua kumpulan nasyid yang terbabit dalam Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda. - NSTP/Asyraf Hamzah

Ustaz Don kembali mengambil alih pentas bersama Imam Muda Megat bagi mengisi slot pengisian rohani berikutnya. Mereka bergandingan menyampaikan pidato yang menyentuh jiwa.

Kisah yang mengangkat perjuangan Nabi Muhammad menjadi pilihan untuk diperdengarkan pada malam itu, lantas menggugurkan air mata kebanyakan penonton.

Malah, Ustaz Don sendiri tidak dapat menahan rasa sebak ketika menyampaikan kisah berkenaan.

Sementara itu, kelibat pelawak Man Raja Lawak bersama Ustaz Don dan Megat di atas pentas antara yang mencuri perhatian.

Mengapa tidak, telatah lucu Man berjaya menggamatkan keseluruhan dewan dengan gelak tawa penonton.

Tirai konsert ditutup dengan lagu Junjungan Mulia yang dinyanyikan semua kumpulan nasyid yang terbabit pada malam itu.

Alunan zikir dan selawat secara beramai-ramai menjadikan penutup konsert pada malam itu sangat bermakna.