Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Saleha nafi nikah pereka fesyen dalam masa terdekat

08 Dec 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Aktres Siti Saleha menafikan spekulasi bakal mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat susulan tindakannya berkongsi foto bersama teman lelakinya, Joshua Fitton menerusi akaun Instagram (IG), baru-baru ini.

Meskipun sedang berpacaran, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 32, hingga hari ini tidak pernah membincangkan soal berkaitan masa depan termasuk perkahwinan.

"Rasanya tak salah untuk saya berkongsi gambar dalam IG untuk menjadikannya lebih rasmi. Ini memandangkan hubungan kami sudah diketahui ramai rakan industri dan sahabat terdekat.

"Lagipun, saya sudah berjanji memperkenalkan lelaki dimaksudkan sebelum ini. Jadi, saya sekadar mahu menunaikan janji.

"Namun, saya terkejut apabila ada yang sudah membuat spekulasi kami bakal berkahwin dalam masa terdekat hanya kerana perkongsian ini.

"Sejujurnya, kami tak pernah membincangkan soal berkaitan dengan masa depan termasuklah perkahwinan.

"Kami malu sebenarnya. Jadi, kami hanya ikut jalan yang sudah dilorongkan dalam perhubungan ini," katanya kepada BH Online.

Saleha dan Joshua mula menjalinkan hubungan secara serius sejak beberapa bulan lalu. - Foto IG Siti Saleha
Saleha dan Joshua mula menjalinkan hubungan secara serius sejak beberapa bulan lalu. - Foto IG Siti Saleha

Ditanya apakah keistimewaan Joshua, 35, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 33 dan 34 itu berkata, dia tertarik dengan keperibadian dimiliki pereka fesyen itu.

"Joshua, seorang lelaki yang baik. Sepanjang berkawan, saya dapat rasakan kami menjalani satu perhubungan sihat.

"Saya mengenalinya sudah lama sekitar empat atau lima tahun lalu. Saya juga pernah menghadiri pertunjukan fesyen yang dianjurkannya.

"Secara kebetulan, saya berkawan dengan adiknya. Kami mula rapat pertengahan tahun ini. Dia masih bujang dan mempunyai darah campuran seperti saya," cerita pelakon drama rantaian trilogi popular, 7 Hari Mencintaiku ini.

Saleha mengakui sudah bertemu dengan keluarga Joshua, namun menyifatkan ia sekadar perjumpaan biasa dan tiada perbincangan serius membabitkan hubungan.

"Keluarganya sama seperti keluarga saya bersikap terbuka, namun masih mengekalkan adat dan budaya.

"Perjumpaan ini hanya pertemuan biasa dan tiada langsung soal mengenai perkahwinan dibangkitkan," ungkap Saleha.

Terdahulu, Saleha mengumumkan yang berkawan rapat dengan jejaka kacukan, namun belum bersedia mendedahkan identiti lelaki itu ketika menghadiri majlis tayangan perdana drama bersiri, Hilang siaran penstriman Viu, baru-baru ini,

Sebelum ini, Saleha pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 2017, namun bercerai pada Januari tahun ini.