Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Salamiah berhijab atas permintaan arwah suami

24 Mar 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Paling sakit adalah rindu kepada orang yang sudah tiada. Tiada penawar mampu meredakan perasaan rindu, selain doa dipanjatkan agar insan tersayang tenang di alam barzakh.

Perasaan sama dilalui penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 72, selepas lima bulan pemergian suami tercinta, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser kolon di Tasmania, Australia pada November tahun lalu.

Ibarat rindu tiada berpenghujung, Salamiah atau lebih mesra disapa mama mengakui ingatannya terhadap arwah tidak pernah terhakis. Malah, hingga saat ini, segala kenangan bersama arwah terus berputar bagaikan wayang gambar.

"Bila tahu arwah sakit sebelum kami berkahwin, saya menjadi semakin sayang kepadanya. Selepas bernikah, rutin hidup saya menemani arwah menjalani rawatan kimoterapi antara Isnin hingga Jumaat, setiap minggu.

"Hanya hujung minggu arwah diberikan rehat. Arwah tinggal seorang diri di rumah dan anak-anak pula sudah mempunyai kehidupan sendiri.

"Jadi, menjadi tugas memang menjaga arwah. Saya anggap ini adalah takdir Allah menghantar saya untuk menjaganya, sebelum arwah tutup mata," katanya kepada BH Online.

Salamiah berkata, tak dinafikan terasa kesedihan mendalam, namun reda dengan takdir, walaupun hanya sempat berkongsi kasih sayang dengannya selama dua bulan, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat pada 4 November, tahun lalu.

"Selama ini, mungkin orang lihat saya seorang yang kuat dan dapat melalui ujian dengan mudah.

"Namun, saya tidaklah sekuat disangkakan. Namun, saya tetap kena kuat. Kalau tak kuat, Allah tak akan duga saya," luahnya.

Salamiah reda sempat berkongsi kasih sayang dengan arwah suami selama dua bulan. - Foto IG Salamiah Hassan
Salamiah reda sempat berkongsi kasih sayang dengan arwah suami selama dua bulan. - Foto IG Salamiah Hassan

Untuk melepaskan rasa rindu, penyanyi lagu Gelombang dan Menghitung Hari itu akan kembali ke Tasmania pada awal April ini untuk menziarahi pusara arwah.

"Niat asal nak ke Tasmania lebih awal untuk menziarah pusara arwah dan sambut Ramadan, namun disebabkan ada masalah tertentu, saya akan berangkat, awal bulan depan.

"Saya akan ke Burnie, Tasmania iaitu kawasan kediaman kami untuk memudahkan saya menziarahi pusara.

"Saya akan tinggal di rumah seorang teman yang juga salah seorang komuniti Muslim yang saya kenal.

"Selepas itu, saya akan ke Melbourne untuk menziarahi anak saudara. Saya akan pulang ke Malaysia lebih awal untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga," ujarnya.

Berkongsi penghijrahannya yang kini tampil berhijab, ibu kepada penyanyi Atilia ini mengakui, keputusannya juga didorong atas permintaan arwah suami.

"Masa itu, arwah melihat saya mewarnakan rambut untuk menutup uban di kepala. Ketika itulah, arwah menyarankan saya supaya mengenakan hijab.

"Alasan diberi, ia ibarat serampang dua mata kerana selain tidak perlu kerap mewarna rambut ia dapat menutup aurat.

"Pada mulanya, saya agak skeptikal dan buat endah kata-katanya, namun selepas pemergiannya barulah saya terfikir kebenaran.

"Dengan pesanan ditinggalkan, ditambah perasaan sudah bersedia untuk berhijab, jadi saya lakukannya tanpa perlu ada rasa ragu-ragu," katanya.

Tambah Salamiah, dia tidak pernah kesal melakukan penghijrahan, walaupun ia memang keputusan ikhlas dari hati, apatah lagi, sudah berusia 72 tahun.

"Tiada guna berubah awal, namun akhirnya gagal untuk istiqamah hanya kerana belum bersedia sepenuhnya," ungkapnya.

Salamiah mendirikan rumah tangga dengan jejaka berasal dari Liverpool itu pada 1 September tahun lalu dalam satu majlis sederhana di Burnie, Tasmania.

Baru sahaja menerima anugerah dari The BrandLaureate sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang seni.