Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Sepanjang tahun lalu, penyanyi otai yang popular dengan lagu Ratnaku, Roy didatangi pelbagai ujian.
Awal tahun, Roy disahkan positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor. Beliau kemudian mengalami masalah jantung dan terpaksa dirawat di sebuah pusat perubatan.
Ketika dalam proses rawatan dan pemulihan, Roy sekali lagi diuji apabila terjatuh ketika hendak mengambil wuduk hingga mengakibatkan kecederaan serius pada kaki dan bahu kiri.
Berikutan insiden November tahun lalu itu, Roy terpaksa menjalani rawatan pemulihan akibat retak pada tulang pinggul selain sambungan pada tulang bahunya terkehel dan retak.
Roy atau nama sebenar, Mohammad Rauzan Alwi, 57, bagaimanapun bersyukur dirinya hampir sembuh dan boleh kembali bekerja.
"Alhamdulillah, dua minggu selepas saya keluar dari hospital, iaitu pada Januari lalu, saya sudah boleh berjalan.
"Pada Februari lalu, saya sudah kembali bekerja. Sekarang boleh dikatakan dalam 85 peratus sudah sembuh, bagaimanapun, saya masih berjaga-jaga.
"Berjalan dan berlari-lari anak boleh secara normal, tapi tak bolehlah berlari laju. Angkat barang pun tidak boleh terlalu berat.
"Doktor beritahu keretakan yang saya alami selalunya mengambil masa lama untuk sembuh. Tetapi atas kehendak Allah, kalau Dia kata cepat, cepatlah.
"Jadi, Alhamdulillah, saya sudah kembali 'busking' dan buat 'show' sebab itulah kerja utama saya," katanya kepada BH Online.
Roy bersyukur undangan membuat persembahan mula diterima selepas dirinya pulih.
"Kalau tidak, orang tidak mahu panggil sebab saya cedera. Sekarang, saya mula penuhi undangan," katanya.
Sebelum ini, penyanyi yang terkenal dengan lagu patriotik ini menjalani rawatan pemulihan di KPJ Tawakal Kuala Lumpur.
Roy mengaku setiap ujian yang diturunkan kepadanya, diterima dengan reda. Mungkin disebabkan itu, segala ujian yang dilalui, dipermudahkan Allah.
"Apa sahaja kehendak Allah, kita kena reda. Apabila kita reda, insya-Allah semuanya dipermudahkan.
"Kita sebagai manusia pasti ada dugaan dan apa sahaja yang diberi, kita kena atasi. Meskipun kita kecundang dalam hidup, ambil itu sebagai pengajaran.
"Allah bagi ujian ini supaya kita sedar bahawa hidup ini tidak lama. Jadi apabila kita diberi peluang hidup, kita perbaiki diri kita. Allah juga mengajar saya untuk bersyukur dengan apa yang Allah beri," katanya.
Berkongsi kesukaran dihadapinya, Roy berkata, dia tidak memiliki perlindungan insurans kerana menghidap kencing manis.
"Tapi dengan kehendak-Nya, Allah hadirkan sepupu yang membantu membayar kos rawatan permulaan saya kira-kira RM10,000.
"Tidak hanya itu, datang pula sahabat, Ustaz Taufik memohon bantuan temannya di Pusat Zakat Selangor (PPZ). Alhamdulillah, Allah bukakan hati PPZ untuk membantu saya membiayai kos rawatan selebihnya," katanya.
Semua itu diakui membuatkan Roy terpegun dan tergamam kerana rezeki datang tanpa diduga.
Tambah bekas peserta musim keenam program realiti Gegar Vaganza (GV6) ini, pengalaman itu membuatkan dia lebih dekat dengan Allah.
"Apabila saya terjatuh, saya sakit tetapi saya serahkan semua kepada Allah. Kita tahu Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
"Kemudian, dengan kuasa Allah, dia berikan semua itu kepada saya tanpa disangka. Ini adalah di luar kebolehan saya.
"Jadi, ini semua pengalaman saya. Walau apa yang terjadi, saya akan terus berjalan sahaja," katanya.
Roy turut bersyukur dapat kembali bertugas sebagai pensyarah vokal di Universiti Malaya (UM), mulai September depan.
"Saya tidak boleh mengajar menerusi talian. Saya mengajar koir dan orkestra, jadi semua pelajar kena berada di depan saya.
"Kalau diikutkan, saya mula mengajar tahun lalu, tapi disebabkan pandemik COVID-19, pengurusan universiti terpaksa tunda.
"Insya-Allah saya akan mula mengajar September depan," katanya.
Roy memulakan karier sebagai vokalis kumpulan rock Lefthanded sebelum bergerak solo pada 1989 dengan album pertama berjudul Diari Mimpi.
Sebelum ini, Roy pernah dilantik sebagai felo di Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).