BERITA ABPBH

Rosnah persis Madonna

28 Jun 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Lama menyepi daripada dunia seni, pelakon veteran, Rosnah Mat Aris, 71, tidak menyangka hantaran berupa suntingan foto bersama Ratu Pop, Madonna yang dikongsi di akaun Threads, baru-baru ini, menjadi perhatian ramai.

Apa yang lebih mencuit hati netizen adalah kapsyen bersahaja dikongsi pada hantaran itu di mana Rosnah menyamakan dirinya dengan penyanyi Like A Prayer berusia 67 tahun itu.

"Apa beza kakak dengan Madonna? Tidak ada beza! Kamilah ratu bagi segala ratu. Diva bagi segala diva. Emak bagi segala emak yang ada di muka bumi ini," tulisnya.

Ketika dihubungi BH Online, pemegang watak Mak Limah dalam drama popular era 1990-an, Rumah Kedai itu menjelaskan hantaran terbabit sebenarnya dimuat naik pentadbir akaun yang juga peminat setia.

Rosnah mengakui terkejut, namun, terhibur dengan hantaran berkenaan. Rosnah hanya tahu entri itu tular selepas dimaklumkan rakan terdekat.

"Sebenarnya, ada pentadbir yang menguruskan akaun itu secara sukarela. Saya memang tidak begitu aktif dalam media sosial kerana kurang berminat.

"Saya tahu kalau sudah terjebak dengan media sosial, saya akan jadi malas dan hanya menghadap telefon sepanjang hari. Sebab itu saya cuba mengelakkannya.

"Tetapi, apabila hantaran foto bersama Madonna itu tular, saya terkejut juga. Muka saya dalam gambar itu nampak muda benar. Alhamdulillah, dengan tularnya foto itu, orang ramai kembali mengingati saya," katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, pemenang trofi Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak empat kali itu kini lebih selesa menghabiskan masa di rumah.

Rosnah berkata, sudah hampir lima tahun beliau tidak aktif berlakon. Namun, sesekali beliau masih menerima tawaran bagi melepaskan rindu terhadap dunia lakonan.

Bagaimanapun, kebanyakan kerjanya kini lebih tertumpu kepada penggambaran iklan kerana komitmennya lebih singkat dan bayarannya lebih berbaloi.

"Saya pun tidak ingat bila kali terakhir berlakon. Sekarang kalau ada tawaran pun, saya hanya pertimbangkan projek yang mengambil masa sehari atau dua hari sahaja.

"Setakat untuk melepaskan rindu boleh, tetapi kalau perlu menjalani penggambaran setiap hari selama sebulan, saya sudah tidak larat," katanya.

Akui Rosnah, faktor usia turut mempengaruhi keputusannya untuk memperlahankan aktiviti seni.

Katanya, pada usia sekarang, beliau tidak lagi mampu menempuh jadual penggambaran yang bermula seawal pagi dan berakhir lewat malam. Apatah lagi, bayaran yang diterima kadangkala tidak setimpal dengan tenaga dan masa yang dicurahkan.

"Kerjaya kami berbeza kerana tidak tertakluk kepada waktu pejabat. Ada kalanya penggambaran bermula awal pagi dan hanya selesai lewat malam atau awal pagi keesokan harinya.

"Mungkin ada yang lihat bayaran diterima tinggi, tetapi, mereka tidak nampak jumlah jam kerja yang perlu dilalui.

"Jika pekerja pejabat bekerja lapan jam sehari dengan cuti hujung minggu, kami pula boleh bekerja sehingga 16 jam sehari bergantung kepada jadual penggambaran.

"Jika terima kontrak selama seminggu atau dua minggu, kami perlu bekerja setiap hari sepanjang tempoh itu.

"Disebabkan itu, perbandingan tidak boleh dibuat berdasarkan jumlah bayaran semata-mata. Sebaliknya, perlu ambil kira masa dan komitmen yang dicurahkan," katanya.

Justeru, Rosnah kini lebih cenderung menerima tawaran iklan berbanding drama.

Katanya, komitmen bagi penggambaran iklan jauh lebih singkat, namun pulangannya cukup memuaskan.

"Sekarang saya banyak buat iklan sahaja. Bayarannya lumayan dan kerja pula hanya sehari atau dua hari. Hati tidak sakit, kerja pun lebih mudah," katanya berseloroh.

Rosnah mengakui sudah meninggalkan dunia perniagaan yang pernah sebati dengan kehidupannya.

Sebelum ini, Rosnah mengusahakan kantin sekolah dan aktif menyertai bazar Ramadan. Namun, sekarang beliau memilih meninggalkan rutin itu atas permintaan suami tercinta.

"Suami sudah tidak benarkan saya berniaga kerana tidak mahu saya terlalu penat.

"Lagipun kami hidup berdua sahaja. Rezeki yang dia cari, katanya sudah mencukupi untuk kami.

"Kami sudah 19 tahun berkahwin. Sekarang saya hanya menikmati kehidupan bersama suami.

"Saya banyak temani suami menjalankan perniagaan aksesori kereta. Kami kerap berjalan bersama, walaupun hanya dalam negara. Itu sudah memadai untuk membuatkan saya gembira," katanya.

Rosnah bergelar ibu tunggal kepada empat anak selama 13 tahun sebelum kembali mendirikan rumah tangga dengan Tajul Efendie Isa pada 2007. Rosnah dan suami mempunyai jurang perbezaan usia 27 tahun.

Kali terakhir Rosnah muncul di layar perak menerusi filem 3 Janda Melawan Dunia pada 2022.