Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Riena berat hati tinggalkan Hot FM

15 Jul 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

PETALING JAYA: Selepas lebih setahun berjinak-jinak dengan dunia radio, Riena Diana hari ini mengumumkan pengunduran sebagai penyampai stesen radio Hot FM bagi memberi tumpuan kepada karier lakonan.

Riena atau nama sebenar, Nur Qamarina Diana Zulreal yang mula bertugas di konti Hot FM pada Februari tahun lalu, mahu memberi tumpuan kepada pembikinan dua drama yang dijangka menemui penonton, tidak lama lagi.

Keputusan Riena meninggalkan Hot FM sudah dipersetujui pengurusan stesen radio berkenaan.

"Ini adalah keputusan yang sukar buat saya. Lakonan dan radio adalah dua bidang yang sangat saya cintai.

"Pengalaman di radio banyak mengajar saya meningkatkan skill interaksi dengan pendengar dan tetamu jemputan. Selain itu, ia memudahkan saya mempraktikkan sesuatu watak dalam lakonan.

"Skil komunikasi saya juga bertambah baik sejak mula ke udara di Hot FM. Setelah beberapa kali perbincangan dilakukan antara pihak Hot FM dan produksi, kata sepakat dicapai.

"Saya perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada komitmen lakonan dan penggambaran drama di TV3," katanya di sini, hari ini.

Riena Diana memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio di Hot FM pada awal Februari 2021 melalui gandingan bersama Fizie dan Mark Adam iaitu Geng Pagi Hot.

Kemudian selepas rombakan Media Prima Audio (MPA), Riena digandingkan bersama Haziq menerusi segmen Sembang Squad sehingga Haziq mengumumkan tidak lagi ke udara di Hot FM, bulan lalu.

Riena berkata, komitmen bersama penerbit drama mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Selain itu, saya ada beberapa drama lain yang akan bermula, tidak lama lagi. Jadi, sukar buat saya untuk memberikan sepenuh komitmen kepada Hot FM berikutan kekangan masa dan tuntutan penggambaran.

"Apatah lagi, Hot FM juga ada strategi dan perancangan bagi suku ketiga dan keempat tahun ini.

"Ini bukanlah keputusan mudah buat saya, namun ini adalah jalan terbaik yang perlu saya ambil buat masa ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar yang sentiasa menyokong saya dan pastinya saya akan merindui ruang udara Hot FM," katanya.

Sementara itu, pengurusan MPA terutama Hot FM akur dengan keputusan Riena dan terus menyokong karier dan perancangan masa hadapannya.

"Hot FM merakamkan penghargaan, kasih sayang dan terima kasih kepada Riena sepanjang pembabitan beliau bersama kami," katanya.