Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Hot FM, Riena Diana menganggap dirinya belum layak dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi walaupun watak Laila menerusi drama Kampung People dan Kampung People 2 menjadi sebutan ramai.
Berbeza pengalaman dan pencapaian calon lain dalam kategori itu, Riena, 24, menyifatkannya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan pelakon lain.
"Saya umpama 'semut' berbanding calon lain yang tersenarai dalam kategori ini. Mana tidaknya, kebanyakan nama besar bertanding dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi.
"Malah, saya rasa masih belum cukup layak untuk berada dalam kategori itu, apatah lagi, menang. Dengan secebis pengalaman yang ada, mungkin kategori Artis Baharu Wanita Popular sahaja yang sesuai," katanya sambil tertawa.
Tahun lalu, nama Riena pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, namun nasib tidak menyebelahinya.
Tetap terharu dengan kesungguhan peminat mengundinya, Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal berkata, dia tidak kisah berkempen dalam media sosial, walaupun menyedari peluang menang sangat tipis.
"Saya mempunyai kelab peminat, Riena Diamond dan merekalah menjadi tulang belang gigih mengundi. Melihat kesungguhan mereka, rasanya tidak adil jika saya tidak memberi sokongan.
"Lagipun, drama Kampung People sudah lama ditayangkan, saya juga tidak mempunyai produk drama terbaharu. Saya juga bimbang jika orang lupa.
"Disebabkan itu, saya kena kerap memuat naik hantaran dalam media sosial supaya tidak dilupakan," kata pelakon yang dicungkil bakalnya menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur 2017.