BERITA ABPBH

Rashidi positif COVID-19

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Kampung People, Rashidi Ishak mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas mengalami demam teruk selama dua hari.

Pengumuman dibuat pelakon berusia 48 tahun itu menerusi hantaran yang dimuat naik menerusi Instagram (IG), semalam.

Dalam hantaran IG, Rashidi memuat naik foto memakai gelang merah jambu dengan keterangan gambar bertulis 'Maka bermulalah staycation 10 hari yang tak dirancang."

Rashidi berkata, dia membuat ujian calitan selepas pihak produksi menghentikan penggambaran berikutan berlaku penularan wabak COVID-19 di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, katanya, ujian pertama menunjukkannya negatif, namun, tetap menjalani kuarantin kendiri di rumah atas dasar tanggungjawab.

"Namun, saya demam teruk dan sakit badan dalam dua hari ini. Jadi, saya memaklumkan kepada pihak produksi mengenai keadaan saya.

"Mereka terus menguruskan doktor datang ke rumah bagi menjalankan ujian calitan dan kali ini, sah saya positif COVID-19. Doktor minta jangan panik, ambil ubat, awasi keadaan dan akan melaporkan kes saya kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya dihubungi pegawai kesihatan bertanyakan soalan lazim kepada pesakit COVID-19 pada sebelah petang. Saya menjawab dengan tenang.

"Mereka minta saya hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terdekat dan menghantar pautan berkaitan COVID-19. Saya membuat temu janji secara dalam talian," tulisnya.

Rashidi memuat naik foto memakai gelang merah jambu menerusi hantaran dalam IG. - Foto IG Rashidi Ishak
Rashidi memuat naik foto memakai gelang merah jambu menerusi hantaran dalam IG. - Foto IG Rashidi Ishak

Pagi semalam, kata Rashidi, dia akhirnya pergi ke CAC Nilai dalam keadaan satu badan sakit dan kepala berdenyut.

"Saya disambut pegawai perubatan yang lengkap dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Selepas memeriksa maklumat asas, saya dikawal selia oleh doktor untuk memeriksa tekanan darah dan tahap oksigen.

"Mereka bertanya banyak soalan dan doktor memberikan saya satu slip untuk diimbas bagi membuat laporan harian. Saya diminta menghubungi talian 999 sekiranya mengalami sesak nafas," katanya.

Katanya, pihak produksi menghantar stok makanan dan 'oxymeter' supaya boleh memeriksa kadar oksigen.

Selain itu, katanya, mereka turut memohon maaf kerana menyumbang kepada statistik kes COVID-19.

Rashidi turut berpesan kepada orang ramai agar menjaga diri dan prosedur operasi standard (SOP).

"Terima kasih keluarga dan rakan yang menelefon, menghantar mesej dan membuat panggilan video. Jika saya tidak menjawab, bermakna saya tengah tidur dan mabuk ubat.

"Saya minta maaf menyumbang kepada statistik COVID-19. Saya sudah lengkap dua dos vaksinasi pun tidak tahan menanggung sakit.

"Jadi, sekiranya anda ada simptom, pergilah buat pemeriksaan. Jaga diri dan kekal selamat," tulisnya.

Terdahulu, dua penyanyi muda Daiyan Trisha dan Wani Kayrie mengesahkan dijangkiti COVID-19, baru-baru ini.