Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Bagaikan satu kehilangan, itulah yang dirasakan penyanyi bersuara lunak merdu, Ramlah Ram, 56, apabila hampir dua tahun tidak menjayakan persembahan pentas secara terbuka ketika seluruh dunia diserang pandemik COVID-19.
Selama 36 tahun bergelar penyanyi, tidak pernah pun kerjaya nyanyiannya terhenti, malah, saban minggu sibuk dengan undangan persembahan. Namun, ia sebaliknya berlaku pada era pandemik.
Undangan penganjur, BH bagaikan bulan jatuh ke riba apabila membuka peluang kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu muncul atas pentas malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bagi menyemarakkan segmen persembahan.
Dibawa oleh penaja utama, Xiaomi, ABPBH 34 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 November depan.
Bagi pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular, ABPBH pada 1988 dan 1989 itu, dia berterima kasih kepada BH masih mengingati, sekali gus membuktikannya terus relevan meskipun sudah lebih 36 berjuang dalam industri muzik.
"Sejujurnya, sudah hampir dua tahun saya tidak menyanyi atas pentas terbuka. Kalau ada pun, hanya undangan dalam atas talian sahaja.
"Jauh di sudut hati, rindu sangat nak menyanyi di hadapan khalayak. Sebab ini adalah perkara yang suka dilakukan dan menjadi tuntutan kerjaya saya sejak muda.
"Disebabkan itu, saya merasakan seperti satu kehilangan sepanjang dua tahun ini. Dan, Alhamdulillah, saya diberi penghargaan mengadakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH 34," katanya kepada BH Online.
Juara Bintang RTM 1985 itu berkata, dia sangat teruja untuk mengadakan membuat persembahan, apatah lagi, kali terakhir muncul pada malam kemuncak pada ABPBH Ke-31, tiga tahun lalu.
"Kali terakhir saya mengadakan persembahan pada malam kemuncak pada ABPBH 31 bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Syamel.
"Malam kemuncak ABPBH boleh dikatakan sebagai anugerah meraikan kejayaan anak seni dan pada masa sama, rakan satu industri berkumpul.
"Jadi, ini adalah pentas besar buat kami. Disebabkan itu, saya seronok setiap kali diundang membuat persembahan pada malam ABPBH.
"Selain ruang terbentang luas untuk penonton menyaksikan persembahan, saya juga seronok meraikan kejayaan rakan-rakan. Malah, berdiri atas pentas ABPBH bagaikan satu penghargaan, tidak semua penyanyi diberi kesempatan ini.
"Namun, jika tidak hadir sebagai penyanyi yang akan membuat persembahan, saya juga ada diundang sebagai penyampai trofi. Terima kasih BH dan ABPBH kerana tidak pernah melupakan saya," katanya dengan terharu.
Bakal menyampaikan lagu popularnya secara medley, Ramlah berkata, situasi semasa menyebabkan barisan penyanyi yang membuat persembahan tidak boleh berkumpul untuk membuat latihan.
"Kami tidak boleh mengadakan latihan beramai-ramai. Jika ada latihan pun, mungkin perlu hadir sehari sebelum malam kemuncak. Kalau dahulu, latihan mengambil masa sehingga dua hari.
"Lagipun, saya akan menyanyikan lagu sendiri, jadi tidak perlulah saya menjalani banyak latihan seperti kita menyanyikan lagu orang lain.
"Tetapi, saya tetap membuat persiapan dan menjalani latihan sendiri di rumah," katanya.
Mengimbau kenangan menerusi ABPBH, wanita kelahiran Tangkak, Johor itu berkata, ABPBH banyak melonjakkan nama sebagai penyanyi baharu ketika di awal kemunculannya.
"Saya masih ingat, saya memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular, manakala Jay Jay pula diangkat Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH pada 1988. Tahun seterusnya, saya menang lagi, tetapi bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
"Sudah tentu kenangan ini memahat memori manis sepanjang kerjaya nyanyian saya. Kemenangan ABPBH membantu lonjakan kepada kerjaya nyanyian dan hadiah paling bermakna," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramlah berkata dia merancang mengeluarkan single baharu. Ini kerana untuk kekal relevan perlu ada sekurang-kurangnya dua single dalam setahun.
Bagaimanapun, kata Ramlah, dia masih dalam rangka mempromosikan single terbaharunya, Aku Ubatinya Lagi yang dikeluarkan pada Jun lalu.
"Saya baru sahaja mengeluarkan single Aku Ubatinya Lagi ciptaan Ajai, tahun ini. Jadi, insya-Allah mungkin hujung tahun atau awal tahun depan saya merancang mengeluarkan lagu baharu.
"Buat masa ini, saya masih meneruskan promosi single Aku Ubatinya Lagi memandangkan promosi agak terganggu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jadi, inilah masanya saya giat menjalankan promosi semula apabila industri kreatif kembali beroperasi," katanya.
Mengulas keadaan kesihatan ibu dan adiknya yang positif COVID-19 pada September lalu, Ramlah berkata, dia bersyukur dua insan kesayangannya kini sudah beransur pulih.
"Saya lega ibu dan adik tidak teruk mengalami gejala COVID-19, hanya setakat demam. Alhamdulillah, kini kesihatan mereka bertambah baik.
"Tidak dinafikan, saya sangat risau kerana ibu sudah berusia 80 tahun. Bimbang ada penyakit lain bersangkutan, namun, berkat doa semua, ibu kini baik-baik sahaja," katanya.