Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Ramadan kali ini berbeza buat kami - isteri Hafidz Roshdi

25 Mar 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR : Isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mengaku sambutan Ramadan kali ini berbeza tanpa kehadiran suami.

Bagaimanapun, Nurul Shuhada mahu terus kuat demi dua anaknya, Humairah yang berusia enam tahun dan Umar yang menginjak usia dua tahun, walaupun terpaksa melalui bulan penuh keberkatan ini bertiga.

Nurul Shuhada bersama dua permata hati iaitu Umar dan Humairah. - Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri
Nurul Shuhada bersama dua permata hati iaitu Umar dan Humairah. - Foto IG Nurul Shuhada Mat Shukri

"Saya kena kuat demi anak-anak. Iya, selalunya ada suami di sisi, tetapi, Ramadan kali ini, tidak. Pastinya Ramadan tahun ini sangat berbeza," katanya.

Selasa lalu, Nurul Shuhada atau mesra disapa Shu dan Hafidz tampil di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi prosiding pengesahan lafaz cerai.

Nurul Shuhada bagaimanapun bersyukur rezeki dia dan anak-anak tidak pernah putus.

"Sekarang, Alhamdulillah Allah aturkan semua perkara yang baik untuk saya. Allah juga bagi rezeki untuk anak-anak.

"Alhamdulillah ada pihak beri tawaran kepada anak-anak untuk menjadi duta produk. Jadi, bagi saya, tiada yang salah dengan takdir Allah.

"Allah sudah susun dengan baik dan indah semuanya. Kalau ada rasa perit itu, Insya-Allah ada hikmah," katanya.

Mengenai parut pada bahagian kiri wajah, Nurul Shuhada memberitahu parut berkenaan akan kekal selamanya.

"Luka ini ada rawatan susulan, ia memang parut kekal," katanya.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Hafidz atau nama sebenar, Muhammad Hafidz Roshdi membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

Pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selasa lalu, mahkamah menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz (kanan) dan isterinya berhubung isu lafaz cerai yang dibuat Hafidz, sebanyak dua kali. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selasa lalu, mahkamah menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz (kanan) dan isterinya berhubung isu lafaz cerai yang dibuat Hafidz, sebanyak dua kali. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selasa lalu, mahkamah menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan isterinya berhubung isu lafaz cerai yang dibuat Hafidz, sebanyak dua kali.

Hakim Syarie Siti Rahman Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.

Sepatutnya, Selasa lalu adalah pengesahan lafaz cerai namun mahkamah dimaklumkan wujud isu baharu berhubung isu cerai itu.

Kes perceraian pasangan itu dikendalikan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.