Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
PETALING JAYA: Sambutan menggalakkan terhadap program realiti berbentuk nyanyian, Lagu Cinta Kita (LCK) ketika ditayangkan tahun lalu, memberi dorongan kepada TV3 untuk menerbitkan musim keduanya.
Masih mengekalkan konsep jatuh cinta pada lagu pertama, program yang diadaptasikan daripada sebuah siri TV popular Korea Selatan, Love At First Song itu, bagaimanapun, ditambah baik.
Penerbit Eksekutif LCK2, Muhammad Sufian Che Isa, berkata pengisian program itu diubah sesuai dengan konsep cinta yang diketengahkan.
"Berdasarkan sambutan terhadap musim pertama LCK, kali ini, program ini akan disiarkan secara langsung di televisyen (TV) berbanding di pelantar digital, tahun lalu.
"Jika tahun lalu kita menggunakan seorang pengacara, musim kedua ini, kita ada tiga hos. Elly Mazlein akan menjadi teraju utama manakala dua pengacara lain adalah Michael Ang dan Azwan Ali.
"Bukan kita tidak yakin kepada Elly untuk mengendalikan program ini berseorangan. Cuma untuk musim ini, LCK akan bersiaran secara langsung selama 150 minit... Tugas itu bukan mudah.
"Justeru kita perlukan pengacara dominan untuk membantu memeriahkan lagi program berkenaan dan menjadikannya lebih lancar," katanya.
Muhammad Sufian berkata, selain itu, selain juri tetap, LCK2 juga mengundang selebriti yang menjadi panel untuk berkongsi kisah cinta mereka.
"Selebriti ini akan memberi nasihat atau tip berdasarkan pengalaman mereka dalam percintaan sesuai dengan konsep rancangan itu," katanya pada sidang media virtual Lagu Cinta Kita 2 di sini, baru-baru ini.
LCK2 masih mengekalkan penyanyi dan komposer, Hael Husaini sebagai juri tetap berganding dengan penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu.
Walaupun misinya berteraskan cinta, namun, jelas Mas Idayu, penilaian juri masih menjadikan kemampuan menyanyi sebagai fokus utama.
"Disebabkan ini adalah program nyanyian, bermakna soal kemampuan vokal masih menjadi penilaian utama kami selain faktor keserasian.
"Sekurang-kurangnya, peserta terbabit boleh menyanyi. Kemudian, barulah kita lihat keserasian mereka ketika berduet.
"Kita boleh menilai sama ada keserasian yang dipamerkan benar-benar ikhlas atau palsu," tegas penyanyi Robek Hatiku ini.
Apa yang menarik, juara musim pertama LCK, Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan melakar sejarah apabila keserasian yang disemai memutikkan cinta antara mereka sehingga ke jenjang pelamin.
Pasangan duet itu dilaporkan bernikah pada 25 Julai lalu serta mengusahakan perniagaan produk penjagaan diri dan kosmetik.
Mereka juga menerbitkan single berjudul Lagu Cinta Kita yang juga runut bunyi untuk drama bersiri Pink Smile.
Ini membuktikan visi dan misi rancangan itu yang mahu menjadikan LCK sebagai program mencari jodoh, selain mengesan bakat dalam bidang nyanyian, bukan sekadar omong-omong kosong.
Hael berkata, bukan sahaja pasangan yang bergelar juara bertemu jodoh, malah, ada finalis LCK yang mendirikan rumah tangga sebaik rancangan itu berakhir.