Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pretty Ugly kecewa lagu Bongok tidak mendapat sokongan stesen radio biarpun selepas ditukar judul B, malah, kesan diterima masih berbekas hingga hari ini biarpun lagu berkenaan dilancarkan pada 2015.
Vokalisnya, Neves berkata, ia antara faktor mengapa Pretty Ugly sudah 10 tahun tidak tampil dengan album baharu.
"Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Pretty Ugly sudah lama tidak merakam album baharu. Adakah kami merajuk atau kecewa. Sebenarnya, banyak single sudah dirakam sepanjang 10 tahun ini
"Antaranya, Dia Milikmu, No 1, Bongok dan Pasti Kau Milikku. Namun, hanya lagu No 1 pernah mendapat sambutan. Lagu ini memenangi trofi Muzik Video Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014, manakala lagu Bongok pula tenggelam timbul selepas tajuknya dipersoalkan.
"Lagu Bongok ditukar tajuk B selepas mendapat tekanan dan desakan pelbagai pihak. Oleh kerana lagu ini menimbulkan kekeliruan, lama-kelamaan permintaan untuk lagu ini berkurangan.
"Ya, kami kecewa. Disebabkan perkataan bongok, lagu ini seolah-olah disenarai hitam dalam senyap. Walaupun lagu ini ada potensi untuk menjadi hits," katanya kepada BH Online.
Situasi itu membuatkannya teringat pada kisah sama dilalui lagu En Ronald Moore yang disenarai hitam RTM pada 2001.
"Oleh kerana tiada media sosial, manakala stesen radio swasta pula masih bergantung kepada sistem halal haram 'Rakam Khanah', jadi, label terdahulu mengambil keputusan tidak mempromosikan lagu ini walaupun rakaman muzik video sudah selesai," katanya.
Diharapkan perkara itu tidak lagi berulang, Pretty Ugly muncul dengan album baharu berjudul Pretty Ugly 21 sempena meraikan ulang tahun ke-21 dalam industri muzik.
"Album ini diberi nama Pretty Ugly 21 bukan sahaja untuk meraikan 21 tahun Pretty Ugly berada di persada muzik Malaysia. Ia juga kerana album ini dihasilkan pada 2021. Ia adalah album khas buat peminat muzik atas sokongan selama lebih dua dekad," katanya.
Album Pretty Ugly 21 mengandungi 11 lagu dan ia adalah album kelima selepas album Abstrak Versi Fantasi pada 2001, Transformasi Ke Stereo (2003), Rockaholic (2006) dan Darabkan Sejuta (2011).
Kata Neves, berlainan dengan album-album terdahulu, album Pretty 21 adalah rakaman semula lagu-lagu yang pernah berkumandang di corong radio dan kaca televisyen.
"Boleh dikatakan semua lagu yang terkandung pernah menjadi hits. Ia juga memuatkan lagu baharu iaitu Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun COVID Melanda yang mengetengahkan kisah bagaimana sepasang kekasih merempuh dugaan hidup pada era pandemik.
"Lagu ini sudah dipasarkan secara digital pada tahun lalu. Mungkin ramai yang masih tidak pernah dengar atau tahu akan kewujudan lagu ini. Disebabkan itulah lagu ini dimasukkan sekali dalam album ini.
"Dan kami juga merakamkan semula lagu Jangan Kau Mimpi sebagai tribute buat Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia disebabkan korban COVID-19," katanya.
Neves berkata, dia adalah pencipta lagu dan penulis lirik serta penerbit bagi lagu Jangan Kau Mimpi.
Dalam pada itu, Neves berterima kasih kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) kerana membantu merealisasikan album itu.
"Tahun lalu banyak dana sudah dikeluarkan oleh pelbagai kementerian untuk membantu pemuzik dan artis yang terkesan akibat pandemik untuk terus berkarya.
"Jadi, album ini adalah satu projek di bawah dana CENDANA apabila salah satu daripada geran dipohon oleh syarikat penerbitan, CD Bagasi Muzik berjaya menjadi penerima dana. Jadi, rakaman bermula sekitar September tahun lalu.
"Bagaimanapun, ia hanya dipasarkan secara digital, buat masa ini. Kami merancang memasarkan album ini secara fizikal pada masa akan datang," katanya.
Album Pretty Ugly 21 sudah berada di pasaran di semua digital platform sejak Isnin lalu.