Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

PIMM masih 'tergantung'?

28 Sep 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) yang diluluskan Kabinet sebagai badan bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik masih tergantung dan perlu dibincangkan semula berikutan pertukaran pentadbiran.

Biarpun Menteri Komunikasi dan Multimedia terdahulu, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan mewujudkan badan khas itu sebagai jaminan masa depan dan memperkasakan ekosistem muzik tempatan pada 19 Julai lalu, namun penubuhannya belum mendapat kelulusan di Parlimen bagi memperoleh peruntukan.

Ia antara usaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku badan memiliki kepakaran dengan rekod lebih 40 tahun dalam dunia muzik tempatan dan membentangkan cadangan penubuhan PIMM kepada kerajaan, tahun lalu.

Ini bagi mewujudkan perbadanan yang efektif dalam mengawal selia pembangunan industri muzik termasuk menangani isu lapuk, memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan dan perlindungan hak pemain industri muzik agar ditangani secara kolektif serta harmoni.

PIMM juga bertanggungjawab menyelaras infrastruktur sektor muzik, selain mengurus agihan insentif kewangan serta dana bagi tujuan pengembangan industri dan penggiatnya.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, pihaknya perlu berjumpa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai penubuhan PIMM.

"Saifuddin sudah mendapatkan kelulusan Kabinet untuk menubuhkan PIMM, tetapi penubuhan PIMM masih perlu mendapatkan kelulusan di Parlimen bagi memperoleh peruntukan.

"Ini kerana akta PIMM perlu diwujudkan agar KKMM dapat menerima peruntukan tahunan bagi menjalankan aktiviti PIMM. Jadi, buat masa ini, RIM hanya menunggu maklum balas kementerian mengenai tindakan selanjutnya.

"Memandangkan kita sudah ada Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu, jadi RIM juga perlu bertemu dengan Tan Sri Annuar Musa untuk berbincang secara mendalam," katanya kepada HIP.

Terdahulu, Kabinet meluluskan penubuhan PIMM sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik, buat kali pertama dalam sejarah pada 19 Julai lalu.

Saifuddin mengumumkan penubuhan PIMM dalam meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Enam objektif utama penubuhan PIMM digariskan termasuklah menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

Justeru, Rosmin berkata, RIM berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Annuar bagi menjelaskan hala tuju penubuhan PIMM.

"RIM sedang berusaha berjumpa dengan menteri untuk membincangkan mengenai pembangunan industri muzik pada masa hadapan termasuklah mendapatkan maklum balas terkini mengenai penubuhan PIMM.

"Mungkin Annuar boleh meneruskan apa yang diusahakan oleh Saifuddin.

"Apabila diluluskan, PIMM akan menerima peruntukan kerajaan setiap tahun bagi menjalankan aktiviti berkaitan dengan pembangunan industri muzik," katanya.

Rosmin berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Annuar bagi menjelaskan hala tuju penubuhan PIMM.
Rosmin berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Annuar bagi menjelaskan hala tuju penubuhan PIMM.

Antara aktiviti dicadangkan termasuklah penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM), setiap tahun.

"Kita perlu menghargai penggiat muzik berkualiti jika mahu memasarkan karya ke pasaran lebih besar di luar Malaysia. Sudah tentu kualiti dihasilkan perlu setaraf dengan karya yang dikeluarkan oleh pembikin muzik global.

"Jadi, AIM amat penting penganjurannya, setiap tahun. Sebelum ini, penganjuran AIM bergantung kepada penaja. Seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempunyai peruntukan untuk menganjurkan Festival Filem Malaysia, setiap tahun.

"Namun, RIM menganjurkan AIM sendiri, sebelum ini. Oleh itu, RIM perlu bergantung pada penaja untuk menganjurkan acara berkenaan.

"Apabila tiada penaja, RIM tidak dapat meneruskan AIM. Jadi, apabila ada peruntukan daripada kerajaan, bolehlah AIM diadakan semula," katanya.

Katanya, usaha penganjuran AIM juga bagi menyokong usaha mengeksport kandungan tempatan ke luar negara, sekali gus mengangkat karya tempatan ke peringkat global.

"RIM mensasarkan memasarkan karya tempatan ke India, China, Indonesia dan sebagainya yang dilihat mempunyai pasaran lebih besar. Ini antara sasaran kami sekiranya mahu meluaskan pasaran muzik, di mana perlu ke negara yang populasi penduduk ramai seperti Indonesia.

"Jika dapat menembusi pasaran Indonesia, ia boleh mendatangkan kesan baik pada penggiat muzik. Ini antara usaha RIM untuk kebaikan industri kreatif.

"Kalau ada pasaran besar, semua karyawan dalam ekosistem industri muzik mendapat faedah.

"Misalnya, pasaran sekarang bernilai RM140 juta. Jika kita boleh meningkatkan berkali ganda sekiranya karya tempatan dipasarkan ke luar negara, maka nilai pasaran akan naik kepada RM300 juta seperti 1997," katanya.

Justeru itu, katanya, penubuhan PIMM akan membawa industri muzik ke satu tahap lebih tinggi kerana kandungan muzik dan digital lain seperti permainan, filem dan sebagainya boleh dijadikan antara faktor pembangunan ekonomi negara.

Tambah Rosmin, pihaknya sangat berharap satu perbadanan atau agensi khas dapat ditubuhkan segera untuk kepentingan pemuzik pada masa hadapan.

"Dari dahulu, penggiat muzik mahukan perbadanan untuk menjaga kepentingan industri muzik. Ketika bertemu Saifuddin, kami mengusulkan mewujudkan perbadanan di bawah KKMM yang menjaga kebajikan industri muzik ataupun satu agensi khas seperti FINAS.

"Penggiat muzik tidak mana satu pilihan kerajaan, tetapi apa yang penting, perlu ada perbadanan yang menjaga kepentingan industri muzik.

"Jika ada satu badan menjaga industri kreatif pun boleh, sebab ia membabitkan perfileman, muzik, animasi, permainan dan sebagainya," katanya.

Seterusnya, soal kepimpinan yang bakal mengetuai PIMM, Rosmin berkata, tiada sesiapa yang mengusulkan cadangan, buat masa ini.

"Jika bertanya siapa layak untuk mengetuai, RIM boleh memberikan cadangan dan ia terpulang pada KKMM untuk memutuskannya," katanya.

RIM membuat pembentangan penubuhan PIMM kepada Saifuddin pada Mei, tahun lalu.

Ia ekoran tidak pernah wujud satu perbadanan kerajaan menjaga kepentingan industri muzik seperti FINAS menjaga kepentingan industri perfileman.