Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Perang vokal Aina, Marsha

10 Mar 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 menyaksikan perang vokal antara dua penyanyi hebat, Marsha Milan Londoh dan Aina Abdul.

Namun, tuah lebih menyebelahi Aina apabila memenangi trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Sepi dendangan dan ciptaannya.

Aina turut berkongsi kemenangan bersama Khai Bahar menerusi lagu duet Nafas Cinta apabila diumumkan pemenang bagi kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL tajaan jenama telefon bimbit OPPO.

Bagaimanapun, Marsha yang kali pertama bolos ke pentas akhir AJL 36 tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya, lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim diangkat sebagai naib juara dan dipilih memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Terdahulu, Ketua Juri AJL 36, Datuk Mokhzani Ismail mengakui kemenangan Aina begitu tipis berikutan Marsha mengekori rapat daripada belakang.

Tahun ketiga bolos AJL, Aina memanjat kesyukuran kerana trofi Vokal Terbaik akhirnya berjaya digenggam.

"Saya impikan trofi Vokal Terbaik ketika mempertandingkan lagu Sumpah dan Semalam, dua tahun lalu.

"Saya memang seorang vokal 'junkie' dan suka mewarnakan elemen persembahan. Pengiktirafan ini amat bermakna dan tidak dijangka. Ikutkan, saya gerun dengan semua finalis.

"Namun, sebagai manusia, saya juga tidak lepas melakukan kesilapan ketika menyanyikan lagu Sepi. Saya bersyukur juri profesional memilih saya," katanya kepada BH Online.

Aina turut berkongsi kemenangan bersama Khai Bahar menerusi lagu duet Nafas Cinta apabila diumumkan pemenang bagi kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL. - NSTP/Aziah Azmee
Aina turut berkongsi kemenangan bersama Khai Bahar menerusi lagu duet Nafas Cinta apabila diumumkan pemenang bagi kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL. - NSTP/Aziah Azmee

Selain vokal, Aina turut menjadi perhatian apabila tampil dengan dua busana 'pelik' pada malam kemuncak AJL 36 berkata, kehebatan vokal Marsha membuatnya cuak.

"Ketika giliran Marsha menyanyi, saya sedang menyalin pakaian kedua bagi persembahan lagu Sepi.

"Mendengar sahaja suaranya, tekak saya menjadi kering. Saya menghormatinya, malah pernah mengundinya ketika berada Akademi Fantasia musim ketiga.

"Saya rasa satu penghargaan apabila berada satu pentas dengan Marsha," kata Aina.

Mengulas busana yang digayakan, ia persis pepohon bunga rekaan Melinda Looi, manakala pakaian seakan 'trofi' berwarna emas rekaan T Syahmi, Aina berkata, busana berwarna emas adalah inspirasi Anugerah Grammy, Oscar dan AJL sendiri.

"Inspirasi ini sebenarnya macam rasa nak jadi pemenang. Jadi, dapat jadi 'trofi' pun cukup istimewa.

"Busana pepohon pula idea Melinda. Masa kali pertama bertemunya, saya mahukan sesuatu yang mekar atau 'bloom'.

"Ia simbolik untuk lagu Nafas Cinta. Akhirnya tercetus penggunaan banyak ranting, bunga palsu dan hidup.

"Saya dibantu penata gaya, Abu dan jurusolek Bosco Ryzal," katanya yang terbuka untuk bekerjasama dengan Khai lagi.

Kemenangan Aina menerusi trofi Vokal Terbaik membawa pulang wang tunai RM12,000, manakala bagi kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL bersama Khai, mereka menerima wang tunai RM5,000.