BERITA ABPBH

Penyanyi popular lawan juara program realiti

12 Oct 2021 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Menempatkan nama dalam kelompok lima teratas pastinya menjadi dambaan golongan penyanyi yang melangkahkan kaki dalam industri muzik.

Saban tahun, kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sering memberi saingan sengit antara penyanyi bervokal hebat dan popular.

Bagaimanapun, berbeza tahun ini, kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, ABPBH 34 menyaksikan penyanyi sering mendominasi Top 5, saban tahun dan penyanyi yang kali pertama berjaya meloloskan diri.

Mereka adalah Haqiem Rusli, Khai Bahar, Amir Masdi, Azzam Sham dan Naqiu.

Seperti diketahui, Amir, Azzam dan Naqiu pernah menjadi juara pertandingan realiti nyanyian.

Khai pernah mencipta hatrik memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH edisi ke-30, 31 dan 32. Bagaimanapun, kubu pertahanannya dirempuh oleh Haqiem, seterusnya diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 33, tahun lalu.

Calon paling 'senior' adalah Naqiu selepas dua dekad bergelar penyanyi. Kemenangannya dalam program realiti, Gegar Vaganza musim keenam selepas hampir 10 tahun menyepi nyata membuka lembaran baharu.

Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, inilah kali pertama dirinya menembusi pencalonan awal, seterusnya memboloskan diri dalam senarai Top 5, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi selepas 20 tahun berjuang sebagai penyanyi.

"Penantian selama 20 tahun berakhir apabila nama dicalonkan dalam ABPBH 34. Jujurnya, saya bersaing dengan nama besar dan bakat muda yang sedang mencipta nama.

"Haqiem dan Khai adalah penyanyi serta komposer yang pernah menggenggam trofi ini. Amir, antara penyanyi rock muda yang boleh menggantikan otai dalam genre sama. Azzam pula memiliki karakter vokal yang unik.

"Saya bersaing dengan empat penyanyi yang mempunyai kelebihan untuk menang. Walaupun masih muda, namun, bakat mereka cukup dihormati dan dikagumi," katanya yang disokong kelab peminat, Naqiurious.

Amir masih di awangan apabila mendapat tahu berjaya membolosi Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, ABPBH 34. - Foto IG Amir Masdi
Amir masih di awangan apabila mendapat tahu berjaya membolosi Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, ABPBH 34. - Foto IG Amir Masdi

Bagi juara Akademi Fantasia 2016, Amir, dia masih di awangan apabila mendapat tahu berjaya membolosi Top 5 dalam kategori berkenaan.

"Saya mengambil masa membuktikan bakat yang dimiliki. Selepas menjadi finalis Anugerah Juara Lagu Ke-35 dengan mempertaruhkan lagu Kau Sakiti, tahun lalu, kini saya bersaing pula ABPBH 34. Ini adalah pencapaian terbaik dan kebanggaan peribadi.

"Cuma, saya terkejut apabila dapat tahu berjaya membolosi Top 5. Lebih membuatkan saya terkedu, nama saya disenaraikan antara 10 artis yang mendapat undian tertinggi," katanya kepada BH Online.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi berkata, semangat dan harapan untuk menang semakin tinggi dengan kemaraan sebagai finalis.

"Saya lihat kelab peminat, Ampire Official bekerja keras mengundi saya selepas nama diumumkan sebagai finalis. Semangat mereka membuatkan saya lebih teruja membantu kempen.

"Pada masa sama, saya bersyukur kali pertama membolosi senarai Top 5 dan sebaris dengan penyanyi popular berbakat besar," katanya.

Sementara itu, juara program realiti, Big Stage 2020, Azzam berkata, dia umpama calon kecil berdepan pesaing hebat.

"Saingan memang padu, lihat sahaja Haqiem dan Khai. Cuma, saya tidak sangka boleh bolos senarai Top 5. Semua ini berkat undian dan sokongan kelab peminat, Azzam Sham Troopers Official.

"Mereka teruja apabila mendapat tahu saya berjaya sebagai finalis. Sampai kecoh dalam kumpulan perbincangan aplikasi Telegram. Mereka tidak putus-putus ucap tahniah.

"Ada yang terharu dan rasa tidak sia-sia berhabisan mengundi saya. Senarai Top 5 ini satu kemuncak.

"Jika ada rezeki menang, ia sesuatu yang tidak terduga. Bagaimanapun, saya tidak mahu meletakkan harapan. Apa yang boleh dilakukan ialah usaha peminat mengundi sampai ke perjuangan akhir," katanya.

Azzam umpama calon kecil berdepan pesaing hebat apabila bertarung dengan Haqiem dan Khai. - Foto IG Azzam Sham
Azzam umpama calon kecil berdepan pesaing hebat apabila bertarung dengan Haqiem dan Khai. - Foto IG Azzam Sham

Bagi Khai yang teguh disokong kelab peminat, Khai Bahar Empire, dia hanya bertawakal dalam persaingan kategori itu.

"Tiga kali dapat genggam trofi Penyanyi Lelaki Popular jadi satu momen paling indah buat saya dan peminat yang berusaha menempatkan saya di puncak kejayaan.

"Saingan kali ini memang sengit. Namun, saya berserah kepada peminat dan rezeki Allah.

"Tentunya ada keinginan mahu menang semula, tetapi tidak terlalu berharap," katanya yang turut bertanding dalam kategori pencalonan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bagi lagu Nafas Cinta bersama Aina Abdul dan Setanggi Syurga 2020 dengan Inteam.

Bagi Bintang Paling Popular, ABPBH 33, Haqiem teruja kembali bersaing dalam kategori yang sama.

"Ia saingan sihat, semua finalis yang bersaing adalah rakan saya.

"Namun, jauh sudut hati, saya tetap mahu ulangi kejayaan tahun lalu memenangi kategori ini demi memenuhi harapan peminat dan keluarga.

"Terima kasih peminat dan ahli Qiemilio Official FC yang tidak pernah jemu mengundi saya," katanya yang turut bolos menerusi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular menerusi lagu Lara bergandingan dengan Hael Husaini dan Naim Daniel.

Terdahulu, senarai calon Top 5 dan 10 artis 'hot' yang meraih undian tertinggi pada fasa pertama ABPBH 34 diumumkan dalam segmen pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 34 disiarkan secara langsung menerusi program Melodi di TV3, kelmarin.

Malam kemuncak ABPBH 34 dibawa penaja utama, Xiaomi akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 November depan.