BERITA ABPBH

Pengurangan bajet RTM dikhuatiri beri kesan kepada industri kreatif - PTVM

27 Nov 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pengurangan peruntukan RTM sebanyak RM61.74 juta bagi 2027 dibimbangi memberi kesan kepada ekosistem industri kreatif terutama syarikat penerbitan tempatan dan ribuan pekerja yang bergantung kepada peluang produksi televisyen (TV).

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menyifatkan keputusan itu amat mendukacitakan kerana pihaknya selama ini konsisten mengemukakan justifikasi kepada kerajaan mengenai keperluan meningkatkan peruntukan RTM.

Ini bagi membolehkan lebih banyak program tempatan dibeli daripada syarikat penerbitan swasta.

Jurey menambah RTM adalah antara sumber utama pendapatan syarikat penerbitan dan penggiat industri TV tempatan. Justeru, pengurangan peruntukan yang menjejaskan perolehan program tempatan berpotensi memberi kesan kepada kelangsungan operasi syarikat serta peluang pekerjaan.

"Kerajaan perlu melihat isu ini secara menyeluruh kerana pengurangan peruntukan RTM bukan sekadar memberi kesan kepada syarikat penerbitan, malah membabitkan seluruh rantaian pekerja industri kreatif.

"Apabila peluang penerbitan berkurangan, kesannya turut dirasai pelakon, pengarah, penulis skrip, jurukamera, penyunting, kru teknikal serta keluarga mereka yang bergantung kepada pendapatan daripada industri ini," katanya dalam satu kenyataan kepada BH Online.

.

Terdahulu, BH Online melaporkan Ahli Parlimen pembangkang, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan RTM daripada RM551.52 juta kepada RM489.78 juta, namun, menaikkan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM).

Afnan Hamimi (PN-Alor Setar) membangkitkan persoalan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Peruntukan JKOM dilapor meningkat 11.4 peratus daripada RM16 juta kepada RM18 juta.

Jurey berkata, pendedahan di Dewan Rakyat mengenai pengurangan peruntukan RTM, sedangkan peruntukan JKOM ditingkatkan, menimbulkan persoalan mengenai keutamaan kerajaan dalam memperkasakan komunikasi awam dan industri kreatif tempatan.

Jurey menambah PTVM berpandangan usaha memperkukuh RTM dan memperkasakan penggiat industri kreatif sepatutnya diberi perhatian lebih besar kerana pendekatan itu mampu memberikan manfaat serentak kepada kerajaan serta ekonomi rakyat.

"Kerajaan perlu melihat penggiat industri kreatif bukan sekadar penghibur, tetapi sebagai rakan strategik dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan aspirasi negara kepada rakyat.

"Menerusi drama, dokumentari, telefilem dan pelbagai bentuk kandungan kreatif, kami mempunyai kepakaran untuk menyampaikan mesej kerajaan secara lebih kreatif, berkesan dan dekat dengan kehidupan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, Jurey berkata, PTVM mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan termasuk meneliti semula pengurangan peruntukan RTM bagi 2027 dan meningkatkan peruntukan khusus bagi pembelian program TV tempatan daripada syarikat penerbitan swasta.

PTVM juga menggesa supaya peluang perolehan diperluas bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain mengiktiraf penggiat industri kreatif sebagai rakan strategik kerajaan dalam penyampaian dasar dan inisiatif kepada rakyat.

Jurey berkata, peningkatan peruntukan RTM bukan sahaja dapat memperkukuh komunikasi kerajaan dengan rakyat, malah, membuka peluang perniagaan, menjana pekerjaan serta menyediakan sumber pendapatan kepada penggiat industri kreatif.

"Kerajaan perlu mendengar suara kami. PTVM bukan sekadar memperjuangkan kepentingan syarikat penerbitan, tetapi turut memperjuangkan periuk nasi seluruh rantaian pekerja industri kreatif.

"Kami tidak meminta bantuan untuk terus bergantung kepada kerajaan. Kami menuntut peluang untuk bekerja, berkarya, mencari rezeki dan menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Isu berkenaan turut dibangkitkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) ketika mengadakan kunjungan hormat kepada PTVM di sini, kelmarin.

Kedua-dua persatuan yang masing-masing mewakili kepentingan majikan dan pekerja itu sependapat bahawa peningkatan peruntukan RTM amat penting bagi menjamin kelangsungan industri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Perkasakan RTM, perkasakan industri kreatif. Apabila industri diperkasakan, kerajaan turut mendapat manfaat," katanya.