BERITA ABPBH

Pemergian A Samad Said tinggalkan hari gelap buat Malaysia – Loque

25 Nov 2026 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Pemergian Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said, bukan sekadar kehilangan seorang tokoh besar sastera, malah meninggalkan kesan mendalam kepada pemuzik Loque yang menganggap figura itu sebagai sumber inspirasi dalam penghasilan karya muziknya.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar, berkata karya Allahyarham sentiasa menjadi rujukan, khususnya dalam memperkayakan penggunaan bahasa Melayu, meskipun tidak berkesempatan bekerjasama dengan penulis tersohor itu.

"Pada saya, dia seperti bapa sastera. Generasinya banyak melahirkan cendekiawan yang menggunakan bahasa Melayu. Allahyarham seperti simbol bahasa kebangsaan kita.

"Dengan globalisasi dan ketiadaan cendekiawan seperti Allahyarham, ada sedikit rasa risau. Hari ini adalah hari yang gelap untuk Malaysia," katanya kepada BH Online.

Loque yang hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham pagi tadi, mengakui pernah menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan idolanya itu, namun reda dengan ketentuan apabila peluang berkenaan tidak kesampaian.

Justeru, beliau berpendapat penulisan dan penggunaan bahasa Melayu oleh Allahyarham perlu dikaji semula serta dijadikan rujukan, terutama dalam kalangan generasi muda.

"Memang nak, saya memang nak bekerjasama dengannya. Saya tidak mengenalinya secara peribadi, tetapi mengenali anaknya kerana kami belajar bersama di Kolej Berklee.

"Saya memang mahu berjumpa arwah, tetapi tidak berkesempatan. Ketika usianya sudah lanjut, kami mahu menemu bual, berjumpa dan berbincang, namun anaknya memaklumkan Allahyarham kurang mengalu-alukan jemputan kerana tidak sihat.

"Kita hormati keputusan itu. Apabila beliau sudah uzur, kita menghormati privasi dan mungkin Allahyarham juga tidak selesa. Beliau mungkin tidak dapat memberikan sepenuh perhatian untuk berkarya.

"Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita boleh mendapat inspirasi daripada cara beliau menggunakan bahasa. Kita perlu mengkaji semula karya-karyanya kerana terlalu banyak legasi yang ditinggalkan," katanya.

Bagi Loque, Allahyarham bukan sekadar penulis, sebaliknya figura penting yang mengangkat keindahan bahasa Melayu, sekali gus memperjuangkan martabat bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, penulisan dan penggunaan bahasa Melayu oleh Allahyarham wajar dijadikan contoh, termasuk dalam perkara kecil yang mencerminkan kecintaan terhadap bahasa.

"Kaji semula penulisannya, misalnya dari sudut pengayaan dan penggunaan bahasa. Paling minimum pun di Facebook miliknya, beliau tidak menggunakan perkataan 'admin', sebaliknya menulis 'pentadbir'.

"Daripada situ pun kita sudah boleh mendapat inspirasi. Ketika saya ke masjid tadi, saya bertemu Altimet dan beliau juga berkata kita perlu mengkaji semula karya-karya arwah.

"Pemergian Allahyarham seolah-olah memberikan kesedaran kepada kita untuk menggali semula karya-karyanya," katanya.

Loque berkata, beliau sendiri sudah lama meneliti karya sastera lama, bukan hanya penulisan Allahyarham, malah karya bahasa Melayu sekitar era 1960-an dan 1970-an.

Katanya, usaha itu menemukan beliau dengan pelbagai karya Allahyarham yang terus menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan muzik.

Antara karya terbaharu yang mendapat ilham daripada penulisan Allahyarham ialah lagu Villa Marhaen, yang diinspirasikan daripada sajak Marhaenville.

"Karya beliau memang sentiasa memberi inspirasi. Lagu terbaharu kami, Villa Marhaen, mendapat ilham daripada sajak Marhaenville.

"Saya mencari sajak itu di internet, tetapi tidak menemukannya. Akhirnya, saya menjumpainya dalam sebuah buku.

"Saya menukar tajuknya kepada bahasa Melayu, tetapi mengambil zat dan intipati daripada karya itu, terutama namanya yang diterjemahkan secara langsung.

"Sejak dulu, saya banyak membaca penulisannya, termasuk sajak-sajak pendek yang menjadi rujukan utama seperti Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Benih Harapan, jika tidak silap saya. Namun, novel beliau mungkin kurang saya dalami," katanya.

Terdahulu, solat jenazah Allahyarham A Samad Said berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, pagi tadi, sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini.

Allahyarham menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985 dan menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, cerpen, puisi, drama serta esei yang mengangkat persoalan kehidupan dan realiti masyarakat.

Antara karya terkenal Allahyarham termasuk novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.