Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Peguam Zulkifli Che Yong dari Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co yang menguruskan kes perceraian pasangan selebriti, Noh Salleh dan Mizz Nina, enggan mengulas lanjut mengenai perpisahan dua anak guamnya itu.
Zulkifli enggan memberi komen bagi menghormati perasaan dan amanah klien kepadanya.
"Sebagai menghormati privasi dan amanah yang diberi, saya tidak mahu mengulas apa-apa pun berhubung perceraian Noh dan Mizz Nina," katanya kepada BH Online.
Malam tadi, Noh, 37, dan Mizz Nina, 42, mengumumkan perceraian mereka melalui Instagram (IG), masing-masing.
Kenyataan lima perenggan yang dikongsi secara serentak, mengesahkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu, akhirnya, runtuh.
Melalui catatan itu, Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan dan bekas isterinya itu menyatakan keputusan untuk berpisah dibuat bersama, namun, butiran seperti tarikh perceraian tidak dinyatakan.
"Saya dan Nina ingin berkongsi pengumuman penting. Selepas berfikir dan membuat pertimbangan teliti, kami setuju untuk berpisah dan meneruskan hidup mengikut haluan masing-masing.
"Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami meluangkan masa bersama selama 11 tahun yang cukup indah, penuh pasang surut dan pengembaraan," kata mereka melalui hantaran yang dimuat naik kira-kira jam 9 malam.
Sebelum pengumuman rasmi dibuat Noh dan Mizz Nina, pasangan ini dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Selangor, Rabu lalu.
Difahamkan, perceraian pasangan itu adalah di bawah kod kes 055, iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.
Mengikut laporan Harian Metro, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 14 Jun lalu.
Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat dikenali sebagai Baby Musa, Mac lalu.
Dalam kenyataan kepada media pada 14 Julai lalu, Noh mendakwa tidak tahu menahu bagaimana kisah keretakan rumah tangga bersama Mizz Nina, boleh timbul.