BERITA ABPBH

Panahan cinta Shiqin Kamal, Mika Irfan

27 Nov 2026 | A'qilah Riduan

PETALING JAYA: Minat yang sama terhadap sukan memanah dan berkuda bukan sekadar menemukan pelakon Shiqin Kamal dengan suaminya, Mika Irfan Nojey, 28, malah menjadi simbol cinta yang ingin dibawa bersama dalam kehidupan berumah tangga.

Bagi pasangan itu, set peralatan memanah yang dipilih sebagai hantaran perkahwinan bukan sekadar pemberian istimewa, sebaliknya lambang minat yang dikongsi dan bakal menemani mereka setiap kali menyertai pertandingan.

Berbeza daripada hantaran lazim seperti beg tangan, pakaian atau kasut, Shiqin, 35, memilih sesuatu yang lebih dekat dengan jiwa mereka, sekali gus mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Shiqin atau nama penuhnya Nur Ashiqin Mohd Kamal berkata, pemilihan hantaran itu dibuat atas persetujuan bersama kerana mereka mahu memiliki set memanah sendiri yang boleh digunakan pada masa akan datang.

"Dia jurulatih memanah dan berkuda, selain atlet kebangsaan bagi sukan memanah berkuda, manakala saya pula memang meminati sukan ini sejak awal lagi.

"Apabila merancang untuk berkahwin, saya tidak mahu hantaran biasa seperti beg tangan, baju atau kasut. Saya ajak dia memiliki satu set memanah khas untuk kami.

"Jadi, apabila menyertai pertandingan nanti, kami boleh menggunakan set sendiri, sekali gus menunjukkan inilah cinta kami yang dibawa ke mana-mana," katanya.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu mengakui perlu lebih komited menjalani latihan memanah selepas suaminya mengatur jadual khas untuknya.

Katanya, sebelum ini jarak rumah dengan tempat latihan Mika kira-kira 50 minit, menyebabkan dia kadangkala menggunakan alasan penat memandu untuk tidak menghadiri latihan.

Namun, selepas kini tinggal berdekatan dengan lokasi latihan, alasan itu tidak lagi boleh digunakan.

"Kalau dulu jarak rumah dengan tempat dia (Mika) kira-kira 50 minit, jadi apabila hendak berjumpa atau datang latihan, saya akan beri alasan penat kerana sudah memandu lama.

"Tetapi sekarang sudah tinggal berdekatan dengan tempat memanah, jadi tidak boleh beri alasan. Mika juga sudah buat jadual, jadi saya perlu datang latihan," katanya berseloroh.

Mengulas karakter suaminya yang membuatkan dirinya tertarik, Shiqin berkata, ketenangan Mika ketika berbicara antara perkara paling disenangi.

Katanya, sikap itu secara tidak langsung mengajarnya untuk lebih tenang, terutama apabila mereka mempunyai karakter yang berbeza.

"Perkara pertama yang saya suka ialah suaranya. Apabila dia bercakap, dia sangat tenang. Saya pula berbeza, jadi apabila bersama dia, saya rasa saya juga perlu belajar untuk lebih tenang.

"Kami sebenarnya saling melengkapi. Dari segi umur, memang saya lebih berusia dan kami berbeza tujuh tahun, tetapi dari segi susunan adik-beradik, dia anak sulung manakala saya anak bongsu.

"Ada perkara yang saya rasa kurang selama ini, dia bantu lengkapkan. Dia juga matang dalam kehidupan selain tahu bagaimana untuk menenangkan saya," ujarnya.

Shiqin berkata, pemilihan 25 November sebagai tarikh perkahwinan yang juga hari lahirnya dibuat kerana mahu memberikan makna baharu kepada hari istimewa itu.

Katanya, kehilangan bapa sejak kecil menyebabkan sambutan hari lahir bukan sesuatu yang mudah untuk dirinya, malah pernah menganggap tarikh berkenaan tidak lagi membawa sebarang makna.

"Sejak kecil saya memang tidak ada bapa. Jadi, kehilangan itu agak terasa dan sampai satu tahap saya tidak mahu menyambut hari lahir.

"Apabila ada pasangan sebelum ini yang mahu meraikannya, saya rasa macam tidak ada makna. Saya selalu fikir, tak payahlah sambut.

"Tetapi sampai satu masa, saya terfikir kalau berkahwin nanti, saya mahu buat pada tarikh hari lahir supaya membawa makna baharu. Sebab itu saya pilih 25 November," jelasnya.

Bagaimanapun, Shiqin tidak mahu hari istimewa itu diraikan sebelah pihak sahaja, justeru turut memilih hari lahir Mika sebagai tarikh pertunangan mereka.

"Saya rasa tidak adil kalau hanya hari lahir saya diraikan. Jadi, kenapa tidak kita masukkan sekali hari lahir dia?

"Kami sepakat memilih 29 Ogos lalu sebagai tarikh pertunangan yang turut jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Mika," katanya.

Mengulas kerjaya lakonan selepas bergelar isteri, Shiqin mengakui perlu mengambil kira pandangan suaminya, terutama dalam pemilihan skrip dan tuntutan watak.

Katanya, mereka sudah berbincang mengenai perkara itu sebelum berkahwin, termasuk berkongsi tawaran lakonan serta babak yang perlu dijayakan bagi memahami pendirian masing-masing.

"Saya sebelum ini pernah berkongsi skrip atau babak yang diterima dengan dia untuk mengetahui pandangannya. Sebab dari situlah kita dapat tahu secara mendalam tentang dia.

"Saya juga perlu tahu selepas berkahwin ini, boleh atau tidak saya teruskan berlakon. Alhamdulillah, setakat ini semua jawapannya positif," kongsinya.

Sementara itu, Mika berharap isterinya dapat meneruskan kerjaya seni dengan meneroka pendekatan lakonan yang lebih berlandaskan syariat Islam.

Katanya, usaha itu mungkin membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam industri perfileman, meskipun mengakui pelaksanaannya bukan mudah.

"Kalau boleh, saya berharap dia dapat berlakon mengikut syariat. Mungkin ini boleh menjadi pengembaraan atau peluang baharu dalam industri perfileman.

"Saya tahu perkara itu bukan mudah kerana kadangkala ada babak tertentu yang perlu dilakukan untuk menyampaikan maksud di sebalik sesuatu adegan.

"Namun, kalau boleh, saya berharap dia dapat berlakon mengikut syariat. Saya sendiri tidak pasti sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak," katanya.

Terdahulu, Shiqin sah bergelar isteri kepada Mika yang juga jurulatih sukan memanah dan berkuda, dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah premis acara di sini, tepat jam 12 tengah hari, Rabu lalu.