KUALA LUMPUR: Menyedari berwajah 'pecah rumah' dan tidak memiliki ketampanan seperti sesetengah watak hero membuatkan pelakon Pablo Amirul perlu menampilkan lakonan mantap agar kehadirannya disedari dan diterima.
Nyata pelakon yang membawakan watak Sarjan Tuai menerusi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu mengotakan janji apabila tampil dengan lakonan berkesan menerusi filem epik mega itu.
Nyata, Pablo tidak menyangka diberikan watak anggota tentera udara, sedangkan banyak membawa watak antagonis, sebelum ini.
Justeru, tatkala ditawarkan watak Sarjan Tuani, mulanya Pablo tidak percaya, tetapi yakin pasti ada sebab kenapa penerbit dan pengarah memilihnya.
Bagaimanapun, kata pemilik nama Amirul Hisyam Mohd Sakri itu, bukan mudah menjayakan watak dalam bergenre ketenteraan kerana mereka perlu melalui latihan intensif secukupnya.
Pablo berkata, dia dan beberapa pelakon lain terpaksa berkampung dan dikurung sebuah kem di Jugra, Banting lebih seminggu bagi menjalani latihan ketenteraan.
Akuinya, biarpun hanya berlakon, namun, tetap dilayan seperti anggota tentera udara, malah, tidak ketinggalan turut dimaki.
"Pada mulanya, bengang juga apabila dimaki jika melakukan kesilapan. Ini kerana kami hanyalah pelakon, bukannya anggota tentera udara sebenar. Logiklah mana-mana manusia pun akan ada perasaan tak puas hati jika dimaki.
"Namun, lama kelamaan saya sedar bahawa latihan tegas dengan menerapkan disiplin tinggi disebabkan ingin melihat kami kelihatan seperti anggota tentera udara sebenar di layar perak.
"Sebagai pelakon yang membawakan watak Pasukan Khas Udara (PASKAU), mereka pastinya ingin kami mewakili pasukan dengan betul," katanya kepada BH Online.
Pablo berkata, barisan pelakon perlu berjalan kaki selama empat jam, setiap pagi. Malah, tangannya melecet kerana mengendalikan senjata sepanjang menjalani latihan.

Namun, katanya, semua itu tidak boleh diceritakan sebelum filem ditayangkan kerana terikat dengan kontrak.
"Kami menjalani latihan ketat dan gila-gila. Anggota PASKAU yang sebenar menjalani latihan selama enam bulan, kami sebaliknya hanya diberikan masa lebih sebulan sahaja.
"Jadi, dapat bayangkan betapa intensif latihan yang dijalani.
"Sepanjang latihan sehingga penggambaran, tiada sebarang babak yang dijalankan tanpa pengawasan pihak TUDM untuk memastikan tiada pelanggaran dibuat oleh pelakon.
"Sebagai pelakon mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah membawakan watak protagonis buat kali pertama, saya perlu merealisasikan kepercayaan diberikan dengan baik.
"Ini kerana penonton sering melihat saya membawakan watak jahat selama ini," katanya.
Sementara itu, tiada apa yang diharapkan Pablo selain filem berbajet besar itu diterima dengan baik.
"Jika filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mampu mengutip lebih RM96 juta, bermakna industri perfileman tempatan sudah semakin pulih dan betapa 'lapar' rakyat Malaysia untuk menonton filem berkualiti.
"Saya yakin satu lagi sejarah perfileman bakal tercipta kerana filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dihasilkan dengan teliti dan bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan, baru-baru ini.
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa mengetengahkan anggota PASKAU diketuai oleh Kapten Adib dan mentornya, Mejar Adnan yang bertugas dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, iaitu negara yang berada dalam pergolakan.
Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat ditembak jatuh pengganas. Mengetahui perkara itu, TUDM mengarahkan misi menyelamat.
Zafran, abang ipar kepada Adib yang juga juruterbang SUKHOI berusaha menyelamatkan mereka. Demi keselamatan, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga titisan darah terakhir.
Selain Pablo, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dibarisi Datuk Adi Putra, Nas T, Aiman Hakim Ridza, Jack Tan, Sara Ali, Johan As'ari dan Luqman Hafidz.