Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mendakwa menerima surat tuntutan daripada individu yang dirujuk sebagai pihak ketiga susulan hantaran Instagram Story (IGs) dikongsi pada 15 Februari lalu, berkaitan kemelut rumah tangganya.
Melalui entri itu, Nurul Shuhada merujuk kepada individu digelar 'You' yang didakwa menghancurkan hatinya dan anak-anak, sehingga rumah tangga dengan Hafidz, goyah.
Nurul Shuhada berkongsi berita mengenai penerimaan surat tuntutan itu melalui entri terkini IG, tengah hari tadi. Dalam catatannya, ibu dua anak itu mengaku gementar berdepan proses selanjutnya membabitkan prosedur surat tuntutan di mahkamah.
"Semalam saya dimaklumkan peguam bahawa mengenai surat tuntutan yang diterima daripada pihak ketiga.
"Pihak ketiga menuntut daripada tulisan saya di IG pada 15 Februari 2023 yang berkaitan ucapan terima kasih kerana menghancurkan hati saya dan anak-anak.
"Seharian semalam, susah hati jugalah untuk saya yang belum pernah ada pengalaman ke mahkamah. Gementar memikirkan jumlah tuntutan ganti rugi yang bakal dia tuntut," luahnya.
Pada 15 Februari lalu, Nurul Shuhada memuat naik hantaran yang ditujukan kepada individu yang didakwa mengganggu keharmonian rumah tangga bersama Hafidz.
"Kepada 'You', terima kasih sebab sakitkan saya dengan anak-anak yang tidak berdosa dan menjadi perempuan yang mengambil abah mereka.
"Terima kasih sebab runtuhkan rumah tangga saya dan sanggup melihat wanita lain menderita hanya kerana ingin dapatkan hak untuk cinta seterusnya bahagia atas penderitaan kami," katanya dalam entri berkenaan.
Sementara itu, Nurul Shuhada optimis setiap ujian yang dilalui sekarang adalah suatu bentuk pengajaran untuk dirinya dan anak-anak.
"Walaupun rasa seperti jatuh ditimpa tangga selepas proses perceraian, kes mahkamah syariah, kes keganasan rumah tangga dan yang ini pula.
"Tak apa! Saya perlu bangkit. Jangan kalah. Saya kena kuat dan ini perjuangan saya. Saya hendak bagi contoh pada anak-anak saya kena kuat berjuang, jangan biar dibuli dan dipijak-pijak.
"Biarlah suatu ketika dahulu saya silap... Terlalu percaya," tulisnya.
Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkata ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah berusia enam tahun dan Umar, dua tahun.