Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Norma baharu ABPBH 33 dengan anugerah khas buat kelab peminat

09 Oct 2020 | Nurmastura Zulkafli

KUALA LUMPUR: Anugerah berprestij paling dinanti peminat, artis serta selebriti tempatan, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali untuk edisi ke-33 dengan mengangkat tema #ABPBHKITA2020.

Pengarang Kumpulan BH yang juga Penaung ABPBH 33, Saidon Idris, berkata tema #ABPBHKITA2020 dipilih sebagai simbolik pembudayaan norma baharu.

"BH sebagai penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ABPBH pada tahun ini, memainkan peranan penting untuk kita jaga diri kita," katanya.

18 kategori dipertandingkan

Mira Filzah bersama trofi kemenangan yang dimenangi tahun lalu. - FOTO Instagram Mira Filzah.

Sebanyak 13 kategori utama bakal dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan empat kategori dalam talian iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom, Artis Kontroversi Popular dan tambahan anugerah khas untuk kelab peminat iaitu FC FANtastik Popular.

Proses undian bermula 7 Oktober sehingga 8 November 2020 menerusi laman web ABPBH 33 di www.abpbh.com.my.

Undian juga boleh dilakukan secara percuma, melalui pakej langganan BH digital dan undian bersama Xiaomi.

Siaran langsung menerusi aplikasi TikTok

Pada tahun ini juga, buat kali pertama dalam sejarah industri hiburan Malaysia, acara kemuncak ABPBH 33 akan disiarkan secara langsung melalui aplikasi video TikTok pada Jumaat, 13 November 2020.

Sebagai penghargaan untuk kelab peminat, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan TikTok di mana peminat perlu membuat video di aplikasi TikTok untuk artis dan selebriti kegemaran mereka dan meletakkan #ABPBHKITA2020.

Mira Filzah bersama kelab peminat, Miralegacy. - FOTO Instagram Mira Filzah.

Peminat dan kelab peminat yang berjaya menghasilkan kandungan video TikTok paling kreatif akan dinobatkan Anugerah FC FANstatik Popular.

Penambahbaikan supaya kekal relevan

Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, NSTP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata ABPBH sentiasa berusaha melakukan penyesuaian dan penambahbaikan secara menyeluruh sesuai dengan keadaan terkini.

"Penambahbaikan membabitkan pakej tajaan, kandungan, mekanik penganjuran, pencalonan, pengundian sehinggalah aktiviti bersama artis serta kelab peminat dilakukan secara virtual bagi memastikan penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan ini kekal relevan," katanya.

ABPBH komited memastikan setiap penganjurannya terselit mesej berguna dalam setiap tema yang diangkat bagi memastikan legasi anugerah berprestij ini terus terpelihara serta lebih gemilang setiap tahun.

Sementara itu, syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi diumumkan sebagai penganjur utama ABPBH 33. Ia ditubuhkan pada April 2010 dan memiliki ribuan pejabat di Beijing.

Xiaomi melabur dalam pengeluaran telefon pintar, aplikasi mudah alih, komputer riba, perkakas rumah, beg, kasut, elektronik pengguna dan banyak produk lain.