KUALA LUMPUR: Tidak hanya bergantung kepada pendapatan lakonan, pelakon veteran, Norlia Ghani, mengakui masih aktif mencari rezeki menerusi penghasilan kandungan digital, reviu produk dan restoran.
Pada usia 78 tahun, Norlia bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik tanpa masalah serius yang membataskan pergerakannya.
Norlia berkata, dia masih melakukan sesi siaran langsung di TikTok selain menerima jemputan untuk membuat reviu makanan serta lokasi penginapan seperti chalet.
"Saya masih aktif buat 'live' di TikTok dan reviu makanan, lokasi penginapan seperti chalet dan sebagainya. Kalau 'live' di TikTok tidaklah setiap hari, tetapi mana-mana tempat yang panggil untuk reviu, saya dibayar.
"Nak kata bayaran itu sama seperti berlakon, memang jauh beza. Namun sekurang-kurangnya ada kerja yang boleh saya buat. Saya juga tidak bergerak sendirian, sebaliknya bersama pasukan termasuk jurugambar dan rakan saya yang juga seorang cef.
"Kami pergi ke restoran untuk buat reviu dan saya selesa dengan kerja ini. Alhamdulillah, rezeki Allah beri dan di mana-mana pun kita boleh cari rezeki. Yang penting, usaha. Jadi kalau nak marah stesen televisyen tak panggil kita, tak bolehlah. Saya terima Allah bagi rezeki dengan cara ini," katanya kepada BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ceria Ramadan dan Tahun Baharu Cina di Komune Living and Wellness, Bandar Tun Razak, di sini, baru-baru ini.
Abai komen negatif
Dalam pada itu, Norlia tidak menafikan menerima kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya masih aktif bekerja pada usia emas.
"Ada yang cakap perkara menyedihkan. Kadang-kadang bila baca, saya sedih. Tetapi saya buat tak perasan sahaja komen begitu.
"Yang negatif saya tak ambil hati. Kalau kita layan, kita pun jadi sama. Jadi lebih baik tak tahu dan tak layan. Saya dah tak kuasa nak jawab panjang, nanti keluar pula 'Joyah' punya mulut, jadi isu lain pula," katanya berseloroh.
Norlia berkata, dia amat bersyukur kerana masih mampu berdiri teguh dan bergerak aktif berbanding rakan seusia yang sudah uzur.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Orang kata, saya masih boleh tegak lagi. Ramai yang seusia saya sudah tak larat.
"Kalau saya sakit pun, tak perlulah ditunjuk pada orang. Orang pun bukan boleh tolong. Jadi kita jaga diri sendiri," katanya.
Menurut Norlia, dia mempunyai masalah darah tinggi dan kolesterol, namun keadaannya terkawal menerusi pemeriksaan berkala dan penjagaan pemakanan.
"Saya memang buat pemeriksaan kesihatan kerana ada darah tinggi. Pernah doktor suruh masuk wad, tapi saya tak mahu. Itulah saya cakap saya ini degil.
"Jadi saya kena kurangkan gula. Alhamdulillah, saya juga dilantik sebagai duta kopi khas untuk pesakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.
"Sambil buat reviu, akhirnya mereka ambil saya jadi duta. Ada bayaran bulanan, jadi setiap bulan tetap ada pendapatan. Kalau duduk di rumah sahaja, memang boleh jadi bosan sebab saya sudah biasa bekerja. Bila tak buat apa-apa, rasa otak pun tak berjalan," katanya.