Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: "Saya berserah pada yang Maha Berkuasa dan Maha Penentu. Moga-moga ada perubatan yang cocok dan saya berhak untuk bimbang.
"Dan saya berterima kasih kepada yang ramai mendoakan kebaikan," kata penyanyi popular era 80-an, Herman Tino mengulas perkembangan terbaharu isterinya, Noraini Ibnu.
Noraini, bekas penyampai radio RTM dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan kini, ditidurkan untuk direhatkan buat sementara waktu.
Bercerita lanjut, Herman berkata, Noraini mulanya dihantar ke Hospital Tanjung Karang pada pagi semalam kerana semput dan pernafasannya terhalang.
"Lima jam di Hospital Tanjung Karang, doktor buat keputusan untuk melakukan pemindahan ke Hospital Sungai Buloh.
"Pemeriksaan doktor mendapati Ani (isteri) bermasalah dengan paru-parunya, darah rendah, degupan jantung laju dan tak stabil.
"Selain itu, buah pinggangnya juga tidak berfungsi elok dan paru-parunya dijangkiti kuman menyebabkan pernafasan menggunakan oksigen," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, Noraini sudah ditidurkan sejak semalam dan pihak hospital memberikan rawatan berterusan untuk menyembuhkan isterinya.
Malam tadi, berita Noraini ditidurkan tular dalam media sosial menerusi perkongsian beberapa penyampai radio RTM.
Adiknya dikenali sebagai Nor Hayati Ibnu turut berkongsi keadaan kakaknya.
"Assalamualaikum semua. Mohon jasa baik semua untuk doakan kesejahteraan dan kesihatan kakak saya Noraini Ibnu sihat seperti sedia kala dan cepat sembuh.
"Ada jangkitan kuman di paru-paru. Dan doktor terpaksa 'intubated' kakak untuk rehatkan dia buat sementara waktu. Doakan kakak saya," tulisnya. - HM Online