BERITA ABPBH

Noor Nabila mula intai lokasi hari bahagia

26 Nov 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Detik melangkah ke gerbang perkahwinan buat personaliti media sosial dan usahawan, Noor Nabila Mohd Noor, 41, dipercayai semakin hampir apabila wanita itu mula meninjau lokasi untuk majlis perkahwinannya.

Petunjuk itu dikongsikan sendiri Nabila menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya, hari ini, dengan kapsyen 'Wedding Venue Tour' (Lawatan Lokasi Perkahwinan).

Menerusi perkongsian itu, kakak kepada selebriti, Noor Neelofa, berkenaan turut menyebut Serai Hall di KLGCC Mall, di sini, sebagai lokasi yang dikunjunginya.

Perkongsian berkenaan nyata mengundang keterujaan pengikut yang tidak sabar menantikan hari bahagia Nabila bersama jejaka pilihannya, Ameer Aiman.

Pada Ogos lalu, Nabila mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan Ameer pada penghujung tahun ini, selain memaklumkan persiapan termasuk urusan dokumentasi sudah dilakukan.

Nabila juga menegaskan tidak berniat merahsiakan berita gembira itu daripada pengetahuan umum.

Mengulas mengenai perkenalan mereka sebelum ini, Nabila berkata, hubungan itu bermula tahun lalu apabila mereka bertemu di sebuah gimnasium.

Ameer kemudian mengajaknya keluar sebelum perkenalan itu berkembang menjadi hubungan lebih serius.

Terdahulu, Nabila dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki sejak April tahun lalu.

Perkahwinan bersama Ameer bakal menjadi yang keempat buat Nabila selepas pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya pada 2013.

Nabila kemudian berkahwin dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad, pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, kini berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan itu berakhir pada 2020.

Nabila seterusnya mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin, pada 2021, namun hubungan itu turut berakhir dengan perceraian pada September 2023.