Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Aktres kontroversi, Reen Rahim, 34, membuat kejutan mengumumkan bakal mengakhiri zaman bujang dengan jejaka pilihan dikenali sebagai Mr H dalam majlis yang bakal berlangsung di Putrajaya, bulan ini.
Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim bagaimanapun belum bersedia mendedahkan identiti jejaka yang mencuri hatinya dan tarikh perkahwinan kerana mahu menjaga privasi dan mengelakkan penyakit ain.
"Ya, saya bakal menamatkan zaman bujang, bulan ini. Lelaki pilihan hati seorang ahli perniagaan dan penggiat seni. Kami sudah berkawan hampir dua tahun, dia juga enam tahun lebih muda daripada saya.
"Mulanya, kami tidak berhasrat berkahwin kerana tidak mahu terikat dengan komitmen. Namun, pada masa sama, kami saling menyukai antara satu sama lain.
"Mungkin berkat doa keluarga akhirnya kami terbuka hati mahu menghalalkan hubungan dan berjanji saling menjaga hingga ke akhir hayat," katanya pada sidang media diadakan sebentar tadi.
Berkongsi hari bahagianya itu, pelakon filem Daddyku Gangster ini meluahkan rasa syukur kerana penganjuran majlisnya mendapat penajaan sejumlah RM15 juta dalam pelbagai bentuk.
"Kalau ikutkan, saya nak buat satu majlis sahaja, tetapi ada pihak yang sudi menaja, jadi kami memutuskan menganjurkan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.
"Semua majlis ini akan diuruskan rakan terdekat kerana mereka tidak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis bersejarah itu nanti," ujar Reen.
Ogos lalu, Reen mengikat tali pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun itu, namun bertindak untuk merahsiakannya atas permintaan keluarga.