Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Tirai 2021 yang berlabuh mencatat pelbagai rasa dalam diari kehidupan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Suka, duka, pahit dan manis bersilih ganti, sekali gus menjadikan kanvas kehidupannya penuh warna-warna.
Kemanisan dikecapi penyanyi Jerat Percintaan itu tentunya apabila dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Afwa yang menjadi pelengkap hidup selepas kelahiran anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid, 3.
Namun, ketika Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra disapa Datuk K gembira meraikan kehadiran Afwa, nama pasangan ini dicengkam kontroversi apabila beberapa foto memaparkan menteri dan pendakwah bebas terkenal hadir ke majlis tahnik Afwa tular.
Kontroversi tercetus apabila netizen mempersoalkan penganjuran acara berlangsung di kediamannya pada Mei lalu yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus mengakibatkan Siti dan Datuk K dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan itu.
Mengimbau semula momen itu, Siti berkata, apa yang berlaku di luar kawalan, namun, akur dan menghormati keputusan dibuat.
"Seboleh mungkin saya dan suami cuba menganjurkan majlis tahnik mengikut SOP ditetapkan. Namun, apa yang berlaku di luar jangkaan. Nyata, netizen lebih berkuasa.
"Saya sudah terima apa yang patut saya terima. Apapun, saya bersyukur majlis tahnik berjalan lancar dan diberkati apabila dihadiri agamawan.
"Afwa pun semakin membesar dan sihat. Paling penting, tiada kluster yang wujud ketika majlis berlangsung," katanya kepada BH Online.
Mengulas iktibar diperoleh susulan insiden itu, Siti enggan menuding jari kepada sesiapa. Sebaliknya, menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir dan menghadiahkan pengalaman berharga buatnya.
"Dalam apa juga yang dilakukan, SOP menjadi perkara utama perlu dititikberat. Saya tak pernah berkompromi dalam soal ini. Namun saya faham, ramai yang sensitif dalam situasi pandemik COVID-19.
"Apabila insiden ini berlaku ketika kami berjaga-jaga, saya anggap ia bukan rezeki. Disebabkan itu, saya cuba menangani isu ini dengan baik dan penuh hati-hati," ujar pemenang Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH pada 2012 itu.
Berkongsi harapan sempena ketibaan 2022 yang baru sahaja menguak jendela, tiada apa yang diharapkan selain berdoa semoga pandemik COVID-19 segera berakhir.
"Saya harap situasi pandemik semakin baik dan boleh bekerja seperti biasa. Walaupun ada kelonggaran, saya tetap risau dengan kemunculan pelbagai varian baharu.
"Jika boleh, saya mahu dua cahaya mata membesar seperti apa yang pernah dilalui sebelum ini.
"Banyak juga perancangan tahun lalu tertangguh. Saya berharap ia dapat dilaksanakan tahun ini seperti konsert dan pembikinan album baharu," katanya yang baru sahaja melancarkan filem dokumentari berjudul Siti: Are You Ready?
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri majlis tahnik itu turut dikenakan kompaun RM2,000.
Selain itu, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Iqbal Zain dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.
Turut dikenakan kompaun adalah tiga anak Datuk K iaitu Muhammad Adib Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.