Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Naim buat laporan polis difitnah

25 Jan 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 25, bengang dikaitkan sebahagian golongan Illuminati oleh sekumpulan penganut teori konspirasi dalam Instagram (IG) gara-gara mengalami lebam pada bahagian muka kerana bermain papan selaju, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam satu IG, lebam pada muka Naim sama seperti menjual jiwanya kepada syaitan menerusi upacara ritual 'soul scalping', manakala, kecederaan pada tangan kanan mempunyai kaitan dengan 'the hidden hands'.

Sehubungan itu, penyanyi lagu Sumpah itu memutuskan membuat laporan polis pada 20 Januari lalu atas tuduhan berat sehingga menjejaskan reputasi dan fitnah berlarutan daripada pengikut laman IG itu.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia tidak teragak-agak mahu ambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan tidak berasas berlanjutan.

"Saya membuat laporan polis di Balai Polis Subang, minggu lalu. Kenyataan dan tuduhan terhadap saya amat memalukan dalam media sosial.

"Jujurnya, ini adalah kali pertama saya membuat laporan polis. Orang mengenali tahu, saya jenis tidak suka melayan, namun, kenyataan berunsur fitnah mengganggu emosi dan kerjaya saya.

"Jadi, saya merasakan kali ini saya perlu mengambil tindakan, memandangkan netizen suka menggunakan media sosial. Tetapi, saya tetap memikirkan etika dan kesan diterima pada kemudian hari.

"Saya simpan semua tangkap layar dan jika berlebihan, saya terpaksa lakukan apa yang patut sebab Malaysia ada undang-undang. Tetapi, kini saya mendapati akaun IG berkenaan sudah tutup, tak tahulah takut atau mahu lari?," katanya kepada BH Online.

Naim berkata, sebelum ini, mereka ada buat permohonan maaf, tetapi kapsyen disertakan masih seakan-akan mahu melakukan provokasi terhadapnya.

"Jadi, saya tidak tahu di mana nilai maaf. Saya tidak mengharapkan apa-apa, cuma belajar daripada kesilapan.

"Dan, jangan ingat tiada akibatnya jika buat perkara seumpama ini," katanya.

Terdahulu, syarikat pengurusan Naim, World Peace Entertainment mengeluarkan kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil berat mengenai isu mengaitkan Naim dengan golongan Illuminati dan upacara 'soul scalping'.

World Peace menegaskan, Naim mengalami kecederaan akibat bermain papan luncur di Seksyen 13, Shah Alam dan kemalangan mengakibatkan lebam pada mata, kecederaan di tangan kiri dan sedikit luka ringan di muka.

"Lebam di matanya membangkitkan spekulasi di kalangan pengikut teori konspirasi yang menyangka itu adalah perbuatan 'soul scalping' dalam IG.

"Logo pada topi Naim yang dimuatnaik dalam IG Story juga dijadikan sebagai bahan menguatkan konspirasi mereka sebagai pengikut dajal," katanya.

Naim sedang giat membuat persediaan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 apabila dua lagu, Purnama dan Lara mara ke peringkat akhir. - Foto IG Naim Daniel
Naim sedang giat membuat persediaan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 apabila dua lagu, Purnama dan Lara mara ke peringkat akhir. - Foto IG Naim Daniel

Justeru, World Peace bertindak serius demi memastikan fitnah tidak berlaku pada masa hadapan.

Kata Naim, tindakan itu bukan sahaja memberi pengajaran buat pemilik akaun IG, malah, golongan netizen.

"Ia bukan sahaja membabitkan selebriti, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menggunakan media sosial. Kita semua kena tahu adab sebab bukan kita sahaja menggunakan platform ini.

"Tambah lagi, apabila sesuatu berita tidak sahih, ia boleh menjejaskan nama baik, malah, rumah tangga boleh punah. Jadi, saya rasa kita perlu membuat sesuatu. Sebab manusia sebegini suka menyasarkan golongan artis. Ia tidak 'cool' untuk melakukan semua ini.

"Langkah yang dilakukan agar ekosistem media sosial baik-baik sahaja digunakan semua orang. Sebab bukan saya sahaja, malah, rakan artis lain juga pernah menjadi mangsa.

"Sudah 2022, kalau minda tidak diperbaiki, tiada guna nak cakap berada dalam negara maju, namun, guna media sosial tak beradab," katanya.

Katanya, dia kini sedang fokus untuk sembuh sepenuhnya daripada kecederaan ringan dialami.

"Tangan saya sedang dalam pemulihan akibat terseliuh. Jadi, saya masih memakai alat sokongan lengan dan pendarahan dalam mata masih ada lagi, ambil masa untuk surut.

"Saya jatuh tersembam dan muka ke lantai. Sebab itulah cedera sebegitu rupa," katanya.

Selain itu, Naim kini juga sedang giat membuat persediaan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 apabila dua lagu, Purnama dan Lara mara ke peringkat akhir.

"Saya bersama pasukan saya sudah berbincang mengenai konsep dua lagu. Kali ini, saya rasa kembali ke pentas AJL 36 dengan satu penghargaan. Ini kerana dua tahun tak mara ke pentas akhir.

"Jadi persembahan kali ini seperti membayar hutang. Saya mahu memastikan membuat persembahan yang terbaik dari memikirkan soal menang. Kalau menang, ia adalah bonus," katanya.