KUALA LUMPUR: Pelakon, Nafiz Muaz, 27, menjelaskan rumah tangganya berada dalam keadaan baik dan menafikan dakwaan kononnya hantaran pantun yang dimuat naik di TikTok berkait dengan isu peribadi.
Nafiz atau nama sebenarnya Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir berkata pantun berkenaan hanyalah kandungan kreatif yang dihasilkan berdasarkan pengalaman orang lain dan minatnya terhadap kesusasteraan Melayu.
"Sebenarnya pantun itu saya buat hanya untuk content. Saya belajar Kesusasteraan Melayu, jadi saya tahu asas pantun, susunan dan maksudnya. Tujuan saya cuma nak sampaikan mesej," katanya ditemui pada sesi fotografi drama Doa Yang Terlindung di Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam.
Drama yang turut menampilkan lakonan hebat Fasha Sandha, Firdaus Karim dan Sharifah Rose itu akan disiarkan di slot Akasia TV3.
Sebelum ini, Nafiz mencuri perhatian warganet apabila memuat naik pantun berkisarkan kisah kecurangan seseorang. Pelakon itu juga dilihat konsisten berkongsi pelbagai hantaran disertai pantun nukilannya sendiri di platform media sosial.
Pelakon drama Teratak Kasih Salina itu berkata, idea menghasilkan pantun tercetus selepas melihat ramai pengikutnya di TikTok menggemari gaya penyampaian sebegitu.
"Mula-mula saya buat pantun suka-suka, kemudian cuba letak lagu. Tak sangka ramai yang suka benda macam ini. Jadi saya teruskan sebab orang terhibur, dan dalam masa sama saya dapat kongsi nilai pendidikan," jelasnya.
Tambah Nafiz, pantun berkenaan langsung tidak berkait dengan kehidupan peribadinya, malah isterinya turut memahami niat sebenar di sebalik kandungan tersebut.
"Isteri saya pun ada tanya, saya buat pantun macam itu nanti orang salah faham. Tapi saya cakap, kalau tak betul, kenapa nak terasa? Ia cuma kandungan hiburan," katanya.
Menolak dakwaan rumah tangganya berdepan masalah, Nafiz berkata, dia memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan peribadi kepada umum.
"Saya rasa hal rumah tangga tak perlu ditonjolkan. Saya anggap ia perkara peribadi. Saya berlakon dan berkarya untuk beri manfaat kepada orang lain. Rumah tangga kami juga sama seperti pasangan lain.

"Saya cuba elak benda-benda tak elok. Gambar anak pun saya tak muat naik di media sosial. Saya masih seorang suami dan ayah. Anak perempuan saya kini berusia empat tahun dan tahun depan bakal mula bersekolah," katanya.
Nafiz mendirikan rumah tangga dengan Diyana Omar, adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, pada 2 Januari 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.