BERITA ABPBH

Nad boleh angguk, gerak tangan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tiada guna mempertikaikan kemampuan Nad Zainal dan keluarganya apabila Tabung Kecemasan Nad Zainal dilancarkan pada saat aktres yang masih ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Ampang Puteri memerlukan pertolongan.

Tabung diwujudkan atas inisiatif rakan dan peminat pelakon Hati Yang Tersakiti itu bagi menampung kos rawatan dan membantu meringankan bebanan keluarga.

Nad, 32, masih ditidurkan untuk memberi ruang menyembuhkan paru-paru berdarah sejak 23 November lalu.

Bagaimanapun, kewujudan tabung itu mula mendapat perhatian rakan artis yang berkongsi pautan mengenai sumbangan yang boleh dibuat kepada Pertubuhan Kebajikan As Siddiq itu.

Teman baik Nad, Ungku Ismail Aziz, berkata tabung itu dilancarkan antara usahanya membantu keluarga Nad.

Namun, katanya, mereka memilih menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan As Siddiq supaya aliran keluar masuk wang telus dan lancar, selain mengelak sumbangan tidak ditadbir dengan baik.

Tabung kecemasan diwujudkan atas inisiatif rakan dan peminat bagi menampung kos rawatan dan membantu meringankan bebanan keluarga Nad. - Foto IG Ungku Ismail Aziz
Tabung kecemasan diwujudkan atas inisiatif rakan dan peminat bagi menampung kos rawatan dan membantu meringankan bebanan keluarga Nad. - Foto IG Ungku Ismail Aziz

"Tabung ini diwujudkan hasil inisiatif rakan dan peminat Nad yang ikhlas menyumbang untuk meringankan kos rawatannya.

"Ini menunjukkan ramai prihatin dan sayangkan Nad. Jadi, saya berharap orang luar jangan pertikaikan sama ada ibu bapa atau Nad berkemampuan menanggung kos rawatan hanya disebabkan status seorang artis.

"Kita tak perlu mempersoalkan perkara ini dalam keadaan Nad dan keluarganya memerlukan pertolongan. Mari bersama menyumbang demi membantu Nad," kata Ungku Ismail.

Sementara itu, Ungku Ismail yang sudah beberapa hari tidak mengemas kini perkembangan terkini Nad menafikan dirinya merajuk.

Menerusi video berdurasi lebih 11 minit dimuat naik dalam Instagram (IG), Ungku Ismail meluahkan kekecewaan situasi jadi terpesong apabila kisah perhubungan peribadi dengan Nad lebih kecoh, sedangkan ia bukan masa sesuai dengan keadaan Nad masih koma.

"Saya ingin menjelaskan dakwaan merajuk. Apabila saya minta orang luar mendoakan Nad, sebaliknya pula berlaku. Situasi jadi terpesong apabila sesetengah pihak lebih sibuk bercerita soal perhubungan peribadi kami.

"Saya sering ingatkan fokus mohon doa untuk Nad, tetapi lain pula jadinya. Apabila nama ibu bapa Nad mula terpalit pada bahagian komen, saya kurang selesa.

"Cuba hormati perasaan mereka yang berdebar menunggu perkembangan anak tunggal yang masih terlantar dalam ICU.

"Bagi saya, orang yang berbuat demikian tidak sayangkan amalan mereka. Beri ruang kepada keluarga fokus dan mencari jalan penyelesaian," pinta Ungku Ismail.

Bukan merajuk, sebaliknya Ungku Ismail kecewa kisah peribadi jadi bualan hangat sedangkan Nad masih ditidurkan. - Foto IG Nad Zainal
Bukan merajuk, sebaliknya Ungku Ismail kecewa kisah peribadi jadi bualan hangat sedangkan Nad masih ditidurkan. - Foto IG Nad Zainal

Berkongsi perkembangan terkini Nad, Ungku Ismail berkata, setiap hari pasti ada perkembangan kecil ditunjukkan ibu kepada Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 2, itu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan Nad ada turun naik. Ada masa tahap oksigen normal dan ada ketika rendah, begitu juga tekanan darahnya.

"Alhamdulillah, Nad mula menunjukkan perkembangan baik apabila doktor mengurangkan ubat sejak tiga hari lalu.

"Nad sudah boleh membuka sedikit mata, menggerakkan tangan dan mengangguk apabila bercakap dengannya.

"Namun, Nad masih ditidurkan dan dirawat di ICU yang bermakna keadaannya masih kritikal, jadi tidak boleh terlalu gembira.

"Kami mengharapkan dua perkara, satu mendoakan paru-paru Nad benar-benar sembuh dan tidak lagi ditidurkan," katanya.

Tambah Ungku Ismail, ramai salah faham apabila mendengar perkataan ditidurkan, sedangkan prosedur itu dilakukan bagi merehatkan Nad.

Katanya, Nad diberi ubat yang kuat bagi merehatkan tubuh dan memudahkan prosedur rawatan dilakukan.

"Ramai mendoakan Nad sembuh dan cepat sedar. Saya ingin jelaskan, Nad bukan tidak sedar secara tiba-tiba.

"Sebaliknya, doktor memberikan dua ubat yang menyebabkannya tidak boleh bergerak dan tidur. Dalam keadaan ini, ia boleh melancarkan dan membaik pulih badan, terutama paru-paru dan mudah menjalankan sebarang prosedur.

"Nad perlu ditidurkan agar bekalan oksigen mencukupi. Jika ubat dihentikan, dia akan sedar, cuma buat masa ini hanya boleh kurangkan dos ubat.

"Doktor juga masih menganalisis setiap hari untuk memastikan waktu yang sesuai untuk Nad tidak lagi ditidurkan," katanya.

Justeru, Ungku Ismail memohon jasa baik orang ramai terus mendoakan dan memberikan kesembuhan kepada paru-parunya.