Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Nabil buka hati Asfan

18 Mar 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Perkongsian Nabil Ahmad mengenai keindahan proses penyucian jiwa menjentik hati penyanyi dan komposer, Asfan Shah, 37, mendalami ilmu agama.

Mempertahankan langkah itu bukan kerana mahu mengikut aliran dalam kalangan selebriti yang mendekati kumpulan tabligh, Asfan mengaku hatinya tersentuh mendengar luahan pelawak dan pengacara popular itu.

"Pada awalnya, saya mahu mencari video lakonan dalam telefilem Formula Cinta di YouTube. Saya cari video itu untuk dimuat naik di Instagram (IG) dengan harapan ada tawaran berlakon diberi dan saya rindu kembali ke lokasi.

"Tetapi saya tidak jumpa video berkenaan. Sebaliknya, apa yang ternampak adalah video penghijrahan Nabil. Dia menangis berkongsi cerita. Itu yang menjentik hati saya... Saya benar-benar terkesan dengan video itu.

"Sebenarnya, sudah lama saya terlintas hendak menyertai majlis ilmu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

Asfan berazam mengisi masa dengan menghadiri majlis ilmu bersama kumpulan tabligh setiap bulan. Foto Ihsan Asfan Shah
Asfan berazam mengisi masa dengan menghadiri majlis ilmu bersama kumpulan tabligh setiap bulan. Foto Ihsan Asfan Shah

"Iyalah, selepas tengok rakan artis seperti Saharul Ridzwan, Aliff Aziz dan ramai lagi berhijrah. Tetapi biasalah, perasaan kita berbolak-balik sehinggalah menonton video Nabil di YouTube, awal minggu lalu," katanya kepada BH Online.

Sebaik menonton video berkenaan, Asfan menghubungi sahabatnya yang menganggotai jemaah tabligh yang kemudian membawanya menghadiri majlis ilmu di Mersing, Johor, Khamis lalu.

Asfan turut berterima kasih kepada isterinya, Ain Sakinah yang sangat menyokong dan mendorong penghijrahannya itu.

Asfan menyangka isterinya berat melepaskan dirinya mengikuti majlis ilmu yang dianjurkan selama empat hari itu kerana perlu meninggalkan anak-anak yang masih kecil.

Namun, Ain sangat terbuka dengan penghijrahannya.

"Saya beritahu isteri saya menerusi WhatsApp di mana saya memohon maaf kerana menjadi suami dan ayah yang lalai selama ini. Jadi, saya mahu menghadiri majlis ilmu itu.

"Saya fikirkan dia berat untuk melepaskan saya kerana anak-anak masih kecil. Tetapi isteri balas dengan jawapan yang membuatkan saya sangat terkesan.

"Ain beritahu isteri mana yang tidak gembira apabila suaminya mahu keluar ke jalan Allah.

"Saya tidak sangka kerana kami tidak pernah berbincang mendalam mengenai agama. Umpamanya, semua perkara dipermudahkan untuk saya menghadiri majlis ilmu itu," katanya.

Lebih manis lagi, Asfan berkata, dalam perjalanan untuk menghadiri majlis ilmu itu, dia dihubungi syarikat rakaman, Rusa Music mengenai projek rakaman single bersama kumpulan nasyid popular, Hijjaz.

"Dalam perjalanan saya ke Mersing, saya ditawarkan satu projek bersama Hijjaz. Mereka mahu satukan saya bersama Munif untuk lagu selawat.

"Semua ini menyentuh perasaan saya hingga menangis. Umur 37 tahun, baru saya dapat rasa semua kemanisan ini.

"Jadi, saya ambil penekanan untuk teruskan dan belajar. Saya berazam setiap bulan saya mahu korbankan masa saya untuk menghadiri majlis ilmu... Insya-Allah," kata bapa kepada empat anak ini.

Mengulas mengenai persepsi orang ramai terhadap 'trend' selebriti menyertai jemaah tabligh, Asfan berkata, niatnya untuk memperbaiki diri dan keluarganya.

"Ada terdetik dalam hati, sama ada yang saya buat ini ikut 'trend' atau tidak. Saya tanya ustaz dan orang alim. Mereka menyatakan Allah yang pilih seseorang itu untuk keluar ke jalan Allah... Allah bagi hidayah.

"Platform bagi orang yang bekerja dalam industri ini, lebih besar. Semoga itu menjadi asbab untuk kami mengajak manusia ke arah kebaikan iaitu ke jalan Allah.

"Bukanlah semata-mata mahu mengajak menyertai tabligh, berkongsi ilmu juga menjadi antara perkara baik yang boleh dilakukan.

"Saya belajar bukan untuk memperbetulkan orang tetapi diri sendiri," katanya.

Tambah penyanyi Sumpah Cintaku ini, dia tetap meneruskan karier dalam dunia seni, namun, mengikut batasan sebagai umat Islam.