Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Muzik dan fesyen bergabung dalam The Cloth Concert

23 Sep 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Menyedari muzik dan fesyen saling berkait, Persatuan Veteran RTM (PVRTM) mengambil inisiatif menganjurkan acara amal, The Cloth Concert bagi mengumpul dana memastikan kebajikan kakitangan veteran stesen penyiaran itu terbela.

Berkongsi konsep persembahan, Presiden PVRTM, Zohara Gany Mohamad Bathusha, berkata konsert itu menggabungkan persembahan penyanyi popular tempatan dengan pertunjukan fesyen berasaskan tekstil tradisional.

"Kami namakan acara ini The Cloth Concert kerana pengisiannya adalah gabungan persembahan nyanyian artis popular dan pertunjukan fesyen pereka tersohor tanah air.

"Untuk persembahan malam itu, setiap pereka tampil dengan koleksi mereka berdasarkan tekstil tradisional tempatan yang ditetapkan penganjur seperti songket, batik, tenun dan pua kumbu.

"Usaha ini selaras dengan saranan Penaung Diraja PVRTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin supaya kami teruskan aktiviti mencari dana untuk mengisi tabung bagi tujuan kebajikan ahli yang semakin meningkat," katanya pada sidang media The Cloth Concert di ibu negara, baru-baru ini.

The Cloth Concert bakal dijayakan barisan penyanyi popular dan 10 pereka fesyen di Putrajaya, bulan depan.

Zohara menambah, inisiatif mereka itu bertepatan dengan visi mewujudkan kesedaran dalam kalangan audiens mengenai keunikan tekstil tradisional tempatan.

"Kami berharap acara ini dapat meningkatkan pendapatan pembuat dan pengusaha tekstil tempatan kerana dengan adanya permintaan, penawaran akan berterusan.

"Selain itu, kami mahu memperluaskan peluang kerjaya kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam bidang seni rekaan tekstil dan fesyen," katanya.

Presiden PVRTM, Zohara berkongsi inisiatif bertepatan dengan visi mewujudkan kesedaran dalam kalangan audiens mengenai keunikan tekstil tradisional tempatan. - NSTP/Saifulizan Tamadi
Presiden PVRTM, Zohara berkongsi inisiatif bertepatan dengan visi mewujudkan kesedaran dalam kalangan audiens mengenai keunikan tekstil tradisional tempatan. - NSTP/Saifulizan Tamadi

Sesuai dengan pengisian acara yang disifatkan berprestij dan eksklusif itu, PVRTM mensasarkan mengumpul dana RM1 juta untuk tujuan murni itu.

Zahora berkata, jumlah itu adalah sasaran maksimum PVRTM menerusi jualan meja dan tajaan syarikat korporat.

"Hasil kutipan ini dapat digunakan untuk mengisi tabung kebajikan PVRTM bagi membantu ahli memerlukan," katanya.

The Cloth Concert akan dianjurkan di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya pada 22 Oktober depan.

Konsert ini menampilkan Anuar Zain, Azlina Aziz, Datin Alyah, Noryn Aziz, Ning Baizura, Mimifly, Stacy dan peniup saksasfon, Jari.

Sepuluh pereka fesyen yang bakal mempamerkan koleksi hebat pada konsert itu adalah Zang Toi, Datuk Tom Abang Saufi, Rizman Ruzaini, Carven Ong, Calvin Thoo, J Khan, Yans Creation, Huda Hassan, Nina By Nina dan Sharifah Kirana.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh dibeli secara individu dan juga pembelian meja. Sumbangan berbentuk tajaan turut dialu-alukan penganjur.