Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Mulan Jameela, 42, dan suaminya, Ahmad Dhani, 50, tidak meletakkan paksaan atau kemestian buat anak-anaknya mengikuti jejak mereka sebagai selebriti.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Teman Tapi Mesra itu berkata, populariti bukanlah suatu yang perlu dikejar dalam kehidupan anak-anak mereka.
"Saya dan Ahmad Dhani tidak terlalu memaksa anak-anak. Contohnya, mereka harus menjadi artis dan sebagainya.
"Saya bersama suami mempunyai fikiran yang sama, terkenal atau popular itu hanya kesan sampingan sahaja. Ia hanya pekerjaan yang kami jalani, jadi, menjadi terkenal bukanlah satu tujuan hidup.
"Malah, bergelar selebriti terkenal juga bukan segala-galanya. Jadi, penekanan ini saya sampaikan kepada anak-anak," katanya kepada BH Online.
Tambah Mulan, dia dan Ahmad Dhani sentiasa memastikan anak-anak mempunyai hubungan baik sesama manusia, tidak kiralah selebriti ataupun tidak.
"Di luar kehidupan selebriti, kami hanya manusia biasa, begitu juga anak-anak. Bagi saya, kami perlu mempunyai hubungan baik dengan sesama manusia. Dan manis, walau dengan siapa sahaja," katanya.
Mulan ditemui menemani Ahmad Dhani pada sesi temubual secara eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ahmad Dhani hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan festival Islamik, Garden of Eid yang dianjurkan di Taman Botani Perdana pada bulan lalu.
Mengulas bagaimana anaknya, Safeea membesar ketika ini, Mulan mengakui, Safeea belum bersedia terdedah dengan media sosial.
"Dia mempunyai akaun TikTok, tetapi tidak terlalu aktif. Dia juga mempunyai akaun Instagram.
"Seperti di luar negara, ada ibu bapa menetapkan pada usia berapa anak boleh main gajet, kerana ia bergantung pada mental anak sama ada sudah bersedia atau sebaliknya.
"Sekarang, Safeea belum lagi siap mentalnya, jadi disebabkan itu, saya tapis media sosial dan penggunaan gajet.
"Saya mahu Safeea lebih fokus dengan perkara yang harus dilakukan anak-anak seusia 11 tahun.
"Saya mahu Safeea menghabiskan waktu dengan teman-teman seusianya," katanya.
Mulan bersyukur, Safeea seorang anak yang patuh dan mudah diuruskan.
"Saya bersyukur Safeea mudah diuruskan. Sekarang ini, dia hanya boleh menggunakan gajet apabila perlu menyelesaikan tugas sekolah sahaja.
"Banyak hal dirisaukan kerana apabila anak-anak sebaya Safeea melihat sesuatu, dia akan ingat.
"Mereka ini ibarat kertas kosong dan kemudiannya, diisi dengan coretan. Apa yang dilihat dan didengar, boleh mempengaruhinya.
"Disebabkan itu, saya kurangkan waktunya bersama gajet," katanya.
Selain Safeea, Mulan juga mempunyai anak lelaki, Muhammad Ali, hasil perkahwinannya bersama Ahmad Dhani.
Mulan dikurniakan dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama bersama Harry Nugraha iaitu Tiara Savitri dan Muhammaf Rafly Aziz.