PETALING JAYA: "Saya bukan badak sumbu nak menyondol saja. Tolonglah… cukup-cukuplah."
Demikian tegas pelakon, Muaz Zabir, susulan tindakan segelintir pihak yang masih mengungkit isu lama dengan melabelnya sebagai 'penyondol', meskipun perkara itu sudah berlalu kira-kira dua tahun lalu.
Muaz mengakui kecaman berterusan di media sosial sedikit sebanyak menjejaskan emosi dan mentalnya, namun memilih untuk reda kerana menyedari dia tidak berhak mengawal percakapan orang lain.
"Walaupun saya tidak terbabit dalam apa yang diperkatakan atau disebarkan, saya percaya setiap yang berlaku ada sebabnya.
"Mungkin ada hikmah yang saya tidak nampak atau ia membuka peluang rezeki lebih besar, saya tidak pasti.
"Namun, secara jujur, saya berharap perkara ini tidak lagi dibangkitkan kerana masing-masing sudah meneruskan kehidupan sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan episod pertama drama terbaharu lakonannya, Dorm 403, di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Muaz berkata, dia melihat isu berkenaan terus berpanjangan apabila masih ada pihak mengeluarkan dakwaan tidak berasas.
Sehubungan itu, dia mengambil pendekatan memohon maaf dan berharap semua pihak dapat bergerak ke hadapan tanpa terus menimbulkan spekulasi.
"Saya tidak mampu menghalang apa yang ingin diperkatakan. Kita tahu sifat manusia, ada hasad dengki dan iri hati, perkara itu sukar dielakkan.
"Saya cuma berharap kita dapat membuka lembaran baharu dan memilih untuk bercakap mengenai perkara positif," katanya.
Muaz turut merayu agar netizen menghentikan kecaman serta spekulasi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kontroversi berkenaan.
"Saya ingin memohon agar semua menghentikan kecaman. Cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini," katanya.
Pada masa sama, Muaz berharap diberi ruang untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang tanpa terus dibayangi isu silam.
"Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang ingin diperkatakan kerana semuanya sudah lama berlalu.
"Namun, masih ada yang melabel saya dengan pelbagai gelaran termasuk 'penyondol'.
"Saya berharap semua pihak dapat menghentikan perkara ini dan memberi ruang untuk saya melangkah ke hadapan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muaz membintangi drama Dorm 403, naskhah misteri sarat emosi yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3.
Drama 13 episod itu turut dibintangi Zairi Aziz, Gbril, Evertts Gomes, Nik Rifaie, Muhsin Nadzli, Noki, Dynas Mokhtar dan Puteri Aleeya.