KUALA LUMPUR: Bekas penyampai program Majalah 3, Azura Abdul Karim, 54, hanya mampu berdoa agar rakan seperjuangannya di stesen televisyen TV3, Zalina Azman menemui jalan pulang.
Azura berkata, dia amat terkejut dengan berita kehilangan bekas personaliti TV3 yang begitu sinonim dengan program Money Matters itu.
"Saya berdoa dalam solat agar Allah tunjukkan Zalina jalan pulang selepas menerima berita kehilangannya.
"Sebagai saudara Islam dan rakan seperjuangan, saya minta pada Allah lindungi Zalina.
"Dan, saya harap Zalina jumpa orang baik-baik untuk menasihatkannya. Sebab sekarang macam-macam boleh berlaku.
"Iyalah, kita mungkin hilang segala-galanya apabila dalam kesusahan. Contohnya, kebahagiaan. Jadi, saya takut Zalina salah memilih kawan.
"Sebab apa yang berlaku ini bukan seperti tindakan Zalina yang saya kenal. Saya kenal Zalina sebagai seorang sangat bijak," katanya ketika dihubungi BH Online.
Tambah Azura yang juga menetap di Shah Alam, Selangor, dia tidak pernah terserempak dengan Zalina yang diketahui kini menetap di Seksyen 3, Shah Alam.
"Walaupun duduk di Shah Alam berpuluh tahun, saya tak pernah berjumpa Zalina. Padahal, saya selalu sarapan di kedai mamak dan solat terawih di Seksyen 3, tetapi tak pernah terserempak dengannya.
"Rasanya kali terakhir kami bertemu ketika masih bekerja di TV3. Jadi, sudah lama sangat kami tidak bertemu.
"Jujurnya, kami banyak bertanya di mana Zalina jika ada pertemuan dengan rakan-rakan di TV3. Ketika itu, tiada siapa pun mendengar ceritanya, jadi berita kehilangannya semalam amat mengejutkan.
"Kita tidak tahu apa berlaku disebabkan Zalina memang mendiamkan diri, sejak beberapa tahun ini. Malah, kami tak pernah bersembang mahupun berkongsi soal peribadi ketika satu pejabat dulu pun.
"Saya pun tidak pernah campur isu peribadi termasuk perceraiannya," katanya.

Kata Azura lagi, Zalina seorang yang sangat menjaga privasi dan tidak suka berkongsi masalah dengan orang lain.
"Dia 'privasi' orangnya, tidak pernah berkongsi masalah dengan kami. Saya juga tidak pernah dengar masalahnya ketika kami bekerja di TV3.
"Setiap isu peribadinya, Zalina hanya diam. Malah, kami juga tidak pernah mempunyai masalah seperti bergaduh, berselisih faham dan sebagainya.
"Dia juga seorang yang 'happy go lucky'. Dia suka ketawa dan layan jenaka kawan-kawan. Bagaimanapun, saya tidak kenal rupa Zalina ketika ada kawan menunjukkan gambar terbaharunya, beberapa tahun lalu.
"Ini kerana sangat kurus dan muka tidak bermaya seperti Zalina yang saya kenal. Kita mengenalinya sebagai wanita bergaya dan sentiasa bersiap daripada atas ke bawah.
"Jadi, apabila melihat gambar, saya tertanya-tanya apa yang berlaku kepadanya," katanya.
Bagaimanapun, Azura enggan menimbulkan apa-apa spekulasi dan hanya berharap Zalina dapat kembali dengan selamat.
"Saya berharap Allah tunjukkan jalan pada Zalina untuk mencari dan menemui jalan pulang. Dan, saya juga harap Zalina berada di tempat selamat walau di mana pun berada," katanya.
Terdahulu, BH Online melaporkan polis sedang giat mencari bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.