SHAH ALAM: Pelakon Mimi Lana, 27, sebolehnya tidak mahu terlalu berkongsi mengenai persiapan perkahwinannya bersama Syafiq Kyle selepas Aidilfitri ini.
Berikutan itu, Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, memohon peminat mendoakan yang terbaik buatnya dan Syafiq serta kelancaran majlis perkahwinan.
"Seperti apa yang Syafiq kongsikan kepada media, begitulah. Tiada ada yang boleh saya tambah mengenainya.
"Saya risau jika terlalu banyak berkongsi peminat jadi bosan sebab benda sama. Tapi, itulah hakikatnya, insya-Allah kami akan berkahwin dalam tahun ini.
"Saya sudah lama bersedia, lagipun sudah lama berkawan dengan Syafiq. Doakan, saya tak berani cakap lebih-lebih," katanya kepada BH Online.
Tambah Mimi, dia tidak menafikan perasaan berdebar bergelar isteri dan berharap dapat menjalani fasa baru dalam kehidupan dengan baik.
"Sejujurnya, memang ada sedikit rasa berdebar sebab bakal melangkah ke satu fasa lebih serius dalam hidup.
"Tetapi, tidaklah rasa gemuruh yang keterlaluan, mungkin detik itu belum sampai lagi. Untuk waktu ini, saya banyak berdoa agar kami dapat melaluinya dengan baik dan tiada masalah. Itu sahaja yang saya harapkan," katanya.
Berkongsi mengenai persiapan menamatkan zaman bujang, Mimi berkata, semuanya berjalan baik dan bersyukur Syafiq tidak banyak ragam.
"Setakat ini, persiapan berjalan lancar. Kalau nak bercakap mengenai hal perkahwinan, rasanya ia sama seperti pasangan lain.
"Saya bersyukur kami sudah lama kenal, jadi proses ini menjadi lebih mudah. Syafiq tak banyak ragam dan masalah.
"Semuanya berjalan lancar, masing-masing juga sudah tahu peranan.
"Malah, ahli keluarga sangat menyokong. Alhamdulillah, setakat ini, lebih 50 peratus persiapan perkahwinan sudah dilakukan, cuma separuh jalan," katanya.
Terdahulu, Syafiq mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan Mimi, tahun ini, selain sudah menghantar rombongan merisik pada 21 Januari lalu.