BERITA ABPBH

Mierul Aiman jadikan trofi FFM35 pembakar semangat

23 Nov 2026 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Pelakon Lelaki Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 menjadi pembakar semangat buat Mierul Aiman untuk terus memperkukuh mutu lakonan dan mencari kejujuran dalam setiap watak yang dibawakan.

Mierul berkata, kemenangan itu bukan sekadar penghargaan terhadap usaha selama ini, malah memberikan keyakinan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menghidupkan karakter menerusi sesebuah naskhah.

"Anugerah ini memberikan keyakinan kepada saya bahawa saya mampu menggalas tanggungjawab untuk watak dalam sesebuah naskhah.

"Saya harap anugerah Pelakon Lelaki Harapan ini memberikan kebanggaan kepada mereka yang sentiasa percaya dan yakin dengan saya serta tidak pernah putus memberikan harapan.

"Sudah tentu ini rezeki Allah. Namun, secara peribadi, saya mengangkat anugerah ini sebagai titik mula untuk lebih percaya bahawa inilah jalan kerjaya dan tanggungjawab saya sebagai pekerja dalam industri kreatif.

"Pengiktirafan ini juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja keras mencari keikhlasan sebagai seorang pelakon," katanya.

Mierul berkata, persaingan dalam kategori berkenaan turut memperlihatkan perkembangan positif industri perfileman tempatan apabila ramai pelakon memiliki identiti dan kualiti tersendiri.

Mengakui Merah Muhaimin antara pencabar terdekatnya, Mierul bagaimanapun tidak mengetepikan keupayaan calon lain, iaitu Shahfi Rafiq, Thom Phan dan Xid Haixal.

"Saya melihat sisi positif apabila industri kita mempunyai ramai pelakon yang memiliki identiti dan kualiti tersendiri. Ini membuatkan saya percaya karya kita akan lebih subur pada masa depan.

"Saya melihat semua yang tercalon dalam FFM35 sebagai individu yang mahu mengangkat sinema kita ke persada dunia," katanya.

Mengakui tidak pernah menjangkakan kemenangan itu, Mierul menyifatkan trofi berkenaan sebagai rezeki dan bonus daripada Allah SWT.

Katanya, keutamaan dalam kerjaya lakonan bukanlah mengejar pengiktirafan, sebaliknya memastikan setiap watak dibawakan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

"Saya tidak pernah menyangka akan menang. Saya masih memegang impian, azam dan tekad untuk menjadi pelakon yang ikhlas serta jujur dalam setiap watak yang dibawakan kerana itu paling utama.

"Begitu juga dengan filem Tarung yang saya jayakan. Ia cabaran besar buat saya dan alhamdulillah, saya cuba mencari keikhlasan serta kejujuran untuk menghidupkan watak.

"Prinsip sama akan saya pegang untuk naskhah seterusnya. Saya mahu memastikan cerita yang dibawakan sampai kepada penonton. Itu paling penting," katanya.

Mierul berkata, pengiktirafan yang diterima adalah rezeki Allah SWT, namun lebih bermakna apabila karya yang dijayakan mampu menyentuh jiwa penonton serta meninggalkan iktibar dan makna dalam kehidupan.

Mengulas sasaran meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Mierul berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memperbanyakkan pengalaman menerusi pembabitan dalam lebih banyak filem.

"Keutamaan saya adalah mahu berlakon lebih banyak filem. Itu nombor satu supaya dapat mempertajamkan kemahiran lakonan, mengawal emosi dan menjadi manusia yang lebih baik.

"Untuk menjadi pelakon yang baik, kita perlu menjadi manusia yang baik terlebih dahulu," katanya.