Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Merqeen sekacak Song Joong-ki

30 Jul 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Selepas Anna Jobling bolos senarai 100 Wajah Tercantik Di Dunia atas inisiatif laman web hiburan antarabangsa, TC Candler, tiba giliran Meerqeen menduduki barisan Lelaki Paling Kacak Di Dunia 2022 yang diusahakan pihak sama.

Dalam senarai 100 Lelaki Paling Kacak Di Dunia 2022, Meerqeen dibariskan dengan bintang popular dari serata dunia seperti Song Joong-ki, Liam Hemsworth, Ryan Gosling dan ramai lagi.

Sejak 1990, TC Candler mengumumkan The Annual Independent Critics List of the 100 Most Beautiful Faces yang diterbitkan dalam pelbagai format.

Lebih 100 juta peminat di seluruh dunia dilaporkan mengikut perkembangan laman web itu termasuk pencarian wanita tercantik dan lelaki kacak.

Meerqeen dan Anna yang membintangi drama Melur Untuk Firdaus masing-masing tercalon dalam senarai lelaki kacak dan wanita tercantik anjuran laman web hiburan, TC Candler. Foto IG Meerqeen
Meerqeen dan Anna yang membintangi drama Melur Untuk Firdaus masing-masing tercalon dalam senarai lelaki kacak dan wanita tercantik anjuran laman web hiburan, TC Candler. Foto IG Meerqeen

Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam terkejut dan segan memberi reaksi dirinya bolos senarai 100 Lelaki Paling Kacak Di Dunia 2022 sebaris bintang K-pop dan Hollywood.

"Daripada kerendahan diri, saya amat hargai pengiktirafan ini. Terima kasih kepada pihak yang menyenaraikan nama saya bersama figura antarabangsa lain.

"Terkejut apabila dicalonkan sebagai antara lelaki terkacak di dunia. Ini membuatkan saya teruja dengan pengalaman baharu dalam hidup saya. Saya bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan ini.

Meerqeen terkejut dicalonkan antara 100 Lelaki Paling Kacak Di Dunia oleh laman web hiburan antarabangsa, TC Candler. Foto IG Meerqeen
Meerqeen terkejut dicalonkan antara 100 Lelaki Paling Kacak Di Dunia oleh laman web hiburan antarabangsa, TC Candler. Foto IG Meerqeen

"Bagi saya, kacak atau memiliki fizikal menarik itu sebagai bonus dan subjektif sifatnya. Ini kurniaan Tuhan yang saya syukuri," katanya kepada BH Online.

Meerqeen bersyukur mewarisi segala kurniaan daripada ibu dan bapa tersayang.

"Saya fikir, pada akhirnya, semua ini diimbangi dengan bakat atau kemampuan diri. Contohnya, saya berkongsi bakat seni menerusi dunia lakonan, peragaan dan nyanyian," katanya.

Pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020 yang mula meledak menerusi drama Angkara Cinta itu turut menyifatkan istilah kacak sebagai subjektif.

"Pesona dan aura yang ada pada seseorang menjadi titik tambah atau batu loncatan untuk dikenali serta diminati.

"Semua ini patut digunakan dengan baik sekali gus memberi contoh dan pengaruh positif kepada orang lain.

"Insya-Allah, saya akan cuba jaga pinjaman Tuhan ini sebaik mungkin," katanya.

Meerqeen tidak menafikan tempias diterima selepas beraksi dengan Anna dalam drama Melur Untuk Firdaus.

"Penangan drama itu membawa saya dan Anna yang masing-masing bertatih dan masih 'hijau' ke fasa yang tidak pernah dijangka.

"Nama kami meledak bukan saja di Malaysia, namun, Indonesia. Saya dipelawa menjayakan program bual bicara di Jakarta, Indonesia, iaitu Brownis, pertengahan bulan depan.

"Perhatian dan pengaruh ini cukup saya hargai. Saya harap ini semua terus konsisten. Bukan mudah hendak sampai ke tahap ini, jadi saya cuba rai dan nikmati sehabis baik.

"Semua itu bukan tiket untuk saya mendabik dada, tetapi membuka ruang untuk terus memberi yang terbaik dan memperbaiki kelemahan ada," katanya yang popular dengan single Menunggu itu.