KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan ikon seni serta dakwah dari United Kingdom (UK), Yusuf Islam, disifatkan sebagai penuh makna dengan fokus memperkasa pendekatan dakwah berteraskan seni.
Menerusi hantaran di Facebook (FB), Zulkifli berkata, perbincangan bersama Yusuf yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens itu tertumpu kepada usaha menggerakkan dakwah dalam kalangan anak muda serta merentas budaya.
"Satu pertemuan penuh makna bersama legenda seni dan dakwah, Yusuf Islam di pejabat saya.
"Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama memperkasa dakwah, khususnya mendekati anak muda melalui pendekatan seni Islam yang menyentuh jiwa dan merentas budaya," katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi kisah kolaborasi Yusuf bersama kumpulan nasyid legenda tempatan, Raihan.
"Turut memeriahkan suasana, ANA The Rayhan yang mengimbau nostalgia kolaborasi bersama Yusuf Islam.
"Mendengar gabungan vokal Yusuf dan Nazrey Johani menyanyikan lagu 'God Is The Light' dan 'Puji-Pujian' mengembalikan kenangan indah zaman kegemilangan Raihan.
"Nazrey turut berkongsi kisah bagaimana kumpulan Raihan diundang merakam lagu di studio Yusuf di London pada 1997," katanya.
Menurut Zulkifli, integrasi antara seni dan dakwah mampu menyampaikan mesej Islam secara lebih berkesan, khususnya kepada generasi muda.
"Bila seni dan dakwah bergabung, mesej dapat disampaikan lebih jauh, terutama ke hati generasi muda, insya-Allah," katanya.