Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
Jumaat lalu, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 melabuhkan tirai, mengangkat penyanyi dan komposer muda berusia 22 tahun, Haqiem Rusli, sebagai Bintang Paling Popular.
Banyak kenangan pahit manis dilalui dalam meneruskan legasi acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.
Bukan sedikit cabaran dihadapi penganjur, iaitu BH dan TV3 melalui syarikat produksi, Primeworks Studios (PWS) Sdn Bhd - bermula pelancaran, kempen, proses undian hinggalah malam kemuncak.
Semua demi mempelopori penanda aras dalam penganjuran acara hiburan di bawah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Seawal pengumuman penganjuran, kritikan mula dilemparkan netizen mempersoalkan kewajaran acara diteruskan ketika seluruh dunia masih berperang pandemik COVID-19.
Selaku acara anugerah pertama dikendalikan dalam tempoh PKPB, reaksi ini memang dijangka. Malah, Jawatankuasa Pengelola lebih dahulu mengkaji impak dan mekanisme penganjuran, terutama dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi tanpa kompromi.
Sebagai penganjur bertanggungjawab, kita tidak mahu kredibiliti dan nama gah ABPBH 33 tergadai, apatah lagi pentas popular ini sejak dahulu dibawa bagi mengangkat martabat industri hiburan dan insan kreatif yang berada di belakang setiap nama dijulang.
Bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), satu persatu keputusan penting dibuat, termasuk mengumumkan tiada penonton pada malam kemuncak ABPBH 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Jumlah kru dan artis terbabit malam kemuncak juga dihadkan. Hanya kira-kira 200 orang dibenarkan memasuki stadium ikonik yang sebenarnya boleh memuatkan 8,000 penonton.
Sesuatu amat ketara pada hari ABPBH 33 berlangsung. Dari kejauhan, Axiata Arena sepi bagai tiada acara. Sebelum ini, seawal jam 2 petang, pekarangan lokasi dipenuhi penyokong dan kelab peminat.
Berbeza Jumaat lalu, menimbulkan sebak kerana kali pertama ABPBH dilangsungkan tanpa sorakan ribuan peminat di hadapan pentas.
Dalam stadium, perintah penjarakan dan SOP ketat dilaksanakan pada semua peringkat. Artis termasuk pemenang pelbagai kategori ditempatkan dalam bilik menunggu. Mereka hanya keluar apabila tiba giliran naik ke pentas untuk menerima trofi atau membuat persembahan.
Dilempar kritikan konon ABPBH 33 tidak mendatangkan manfaat dan tidak sensitif, penganjur berlapang dada. Mungkin ramai tidak sedar, ABPBH bukan sekadar pentas hiburan.
Penerapan mesej di sebalik slogan 'Kita Jaga Kita' membuktikan kesungguhan penganjur mematuhi SOP, lebih penting menjadikan ABPBH platform menggalakkan penerapan norma baharu dalam hidup.
Jika diimbas ABPBH pernah tampil dengan tema 'Magis Alam' yang mengajak peminat mencintai alam sekitar dan 'Respek' yang menuntut semua pihak menanam rasa hormat kepada orang lain, termasuk dalam berkarya. Tema diselitkan dalam setiap elemen dan pengisian acara.
Bukan mudah mengekalkan martabat pentas gah diwarisi daripada pengendali terdahulu merentasi tiga dekad. Tidak cukup kritikan netizen, malam kemuncak ABPBH 33 tercemar insiden pelakon, Shaheizy Sam, menayangkan rokok elektronik atau vape ketika tampil sebagai penyampai trofi.
Melalui kenyataan media, BH dan TV3 menyatakan rasa kesal kerana insiden itu mencalar kredibiliti ABPBH 33. Biar apa pun penjelasan, Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH tiga kali (2010, 2012 dan 2014) sepatutnya lebih peka menghormati penganjur, rakan artis, industri dan penonton di rumah.
Laporan Nielsen Malaysia menyebut malam kemuncak ABPBH 33 disaksikan enam juta penonton, lebih 200,000 audiens berbanding ABPBH 32. Ia angka yang melegakan. Sumber Nielsen juga merekodkan malam kemuncak ABPBH 33 mendapat 43 peratus syer penonton ketika bersiaran, menandingi pelbagai program lain ditayangkan pada waktu sama.
Selain pencapaian rating televisyen (TV), ABPBH 33 dibawa Xiaomi, meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia dengan menjana 700,000 tontonan, iaitu 104,000 tontonan lebih tinggi berbanding ABPBH 32.
Angka ini memberi sinar kepada ABPBH untuk terus berevolusi biarpun dalam keadaan 'abnormal' seperti dinyatakan penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Francissca Peter, ketika di pentas.
Daripada mutu produksi bertaraf dunia hinggalah persembahan artis yang masih diperkatakan hingga hari ini, terutama gandingan dua beradik, Azlina dan Liza Aziz, yang meletakkan standard tinggi kepada generasi pelapis, ABPBH pasti mahu terus kekal dan relevan.
Penulis adalah Pengarang Berita Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 33