Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Luar biasa, itulah pencapaian drama Melur Untuk Firdaus siaran TV3 yang tular hingga ke luar negara.
Bintang utamanya, Meerqeen, 21, terharu drama pertama lakonan di TV3 bergandingan dengan Anna Jobling bukan sahaja menjadi ikutan peminat tempatan, malah mendapat sambutan penonton penonton dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berkata, dia terkejut atas sokongan diberikan penonton drama arahan Zamri Zakaria itu.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana drama Melur Untuk Firdaus memberikan impak luar biasa.
"Paling menggembirakan drama ini tular hingga ke luar negara, sekali gus mendapat perhatian peminat negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
"Saya amat hargai sokongan mereka," katanya kepada BH Online.
Jejaka kelahiran Ampang yang dicungkil bakat menerusi program pencarian bakat, Hero Remaja 2019/ 2020 itu berkata, dia menerima banyak mesej positif dalam media sosial.
"Siapa tidak terkejut apabila drama ini tular hingga ke negara seberang. Jujurnya, ramai peminat Indonesia dan Thailand menghantar mesej langsung minta drama ini ditayangkan di negara mereka," katanya.
Dengan itu, Meerqeen menyifatkan ia sebagai pencapaian membanggakan, lantas memangkin semangatnya untuk memberikan lakonan terbaik menerusi drama seterusnya, Nenek Si Bongkok Tiga terbitan Viu Malaysia.
"Saya anggap ini langkah kanan dan pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada bidang lakonan.
"Bagi saya, ini bukan kejayaan kepada barisan pelakon, sebaliknya kepada kru dan produksi yang bertungkus lumus dari awal untuk menjayakan drama hingga ditayangkan.
"Untuk peminat yang sentiasa menyokong, saya amat menghargainya. Untuk peminat baru, selamat menikmati drama Melur Untuk Firdaus dan teruskan memberikan sokongan kepada kami," katanya.
Terdahulu, beberapa klip drama Melur Untuk Firdaus yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok tular dan mendapat sambutan penonton dari Indonesia, Thailand dan Filipina.
Drama Melur Untuk Firdaus mengisahkan Firdaus Iskandar yang tidak bersetuju dengan rancangan ibu bapanya untuk mengahwinkannya dengan Melur kerana sudah mempunyai teman wanita, Dee.
Ibu bapanya memberikan tempoh 48 jam untuk Dee berkahwin dengan Firdaus. Namun, Dee tidak bersedia untuk berkahwin. Melur pula sedih kerana menyukai Firdaus. Melur cuba memikat hati Firdaus, malah meletakkan tujuh syarat untuk Firdaus.
Melur Untuk Firdaus terbitan A-Ten Alliance Sdn Bhd ditayangkan pada Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam menerusi slot Lestary, TV3 dan Disney+ Hotstar.
Selain Meerqeen selaku Firdaus dan Anna Jobling (Melur), ia turut dibintangi Fimie Don (Haris), Nesa Idrus (Dee), Haleeda Mazlin (Rohana), Zainon Ismail (Nasaruddin), Kuza (Kamariah), Azhar Amir (Kamarul) dan Hairi Safwan (Zain).