KUALA LUMPUR: Pengalaman ditinggalkan kekasih membuatkan pelakon baharu yang kian menyerlah, Meerqeen, 20, serik mahu kembali bercinta.
Meerqeen berkata, dia mengambil masa dua tahun merawat luka selepas berpisah hingga membuatkannya mahu melupakan soal 'berpacaran', buat masa ini.
"Saya pernah tiga kali bercinta. Dua daripadanya hanyalah cinta monyet, manakala hubungan ketiga mampu bertahan untuk tempoh dua tahun ketika berusia 18 tahun.
"Saya jenis lelaki setia dan saya suka merancang soal masa depan serta hala tuju hubungan apabila bercinta.
"Bagaimanapun, apabila si dia memutuskan hubungan secara tiba-tiba selepas melanjutkan pelajaran, saya sangat kecewa. Dua tahun saya ambil masa untuk sembuh," katanya pada sidang media pra dengar single sulung berjudul Menunggu secara maya, semalam.
Selepas dua tahun insiden berlaku, Meerqeen atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berjaya melupakannya, namun bekas kekasih kembali mencarinya.
"Apabila menceburi bidang seni, si dia datang mencari saya. Namun, tidak mungkin saya dapat menerima selepas apa yang dilakukan terhadap saya.
"Lagipun, saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni. Jika saya bercinta, tujuannya adalah untuk berkahwin dan bukan untuk suka-suka," katanya kepada BH Online.
Pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Angkara Cinta turut berjaya membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular menerusi filem Kelaster bersama Nora Danish menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Meskipun nyanyian adalah cita-cita awalnya, namun nak saudara kepada penyanyi popular era 1990-an, Safura Yaacob itu akur dengan rezeki yang ditakdirkan.
"Jika ikutkan, cita-cita asal saya mahu bergelar penyanyi. Malah, saya sudah menyanyi sejak di bangku sekolah lagi. Namun rezeki lakonan lebih awal datang.
"Alhamdulillah, berkat perancangan pasukan saya, akhirnya muncul juga single Menunggu yang membawa mesej mengenai kesetiaan seorang lelaki terhadap cinta," ujarnya.
Pada sidang media itu, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui, dia masih belum mempunyai keyakinan menyanyi secara 'live' walaupun itu adalah syarat penting seorang penyanyi.
"Jujurnya, saya belum yakin menyanyi secara live. Malah, persediaan saya setakat 40 peratus sahaja.
"Jika ada orang nak kecam, saya tidak kisah kerana kritikan akan membuatkan saya mahu memperbaiki diri.
"Berilah saya masa untuk memperbaiki nyanyian, mungkin saya akan mengambil kelas vokal. Saya berguru dengan penyanyi Bob Yusof selama dua minggu sebelum merakamkan single Menunggu.
"Saya tetap akan menyanyikan single Menunggu secara live, tetapi bukanlah sekarang," ujarnya.
Single Menunggu ciptaan Aliff Iskandar boleh didapati di semua pelantar digital dan video liriknya sudah ditayangkan di saluran YouTube Indigital Music, sejak semalam.