KUALA LUMPUR: Hampir 130,000 peminat, dua malam penuh emosi dan penantian kira-kira 18 bulan akhirnya terbayar apabila My Chemical Romance (MCR) menggegarkan TM Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi konsert My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur 2026, 19 dan 20 November lalu.
Bukan sekadar persembahan muzik, kepulangan kumpulan rock dari New Jersey, Amerika Syarikat itu menjadi pertemuan semula peminat dengan muzik yang pernah mewarnai zaman remaja, sekali gus menawarkan ruang untuk melepaskan seketika segala tuntutan kehidupan dewasa.
Kejayaan menghimpunkan hampir 130,000 penonton sepanjang dua malam itu turut menjadikan Kuala Lumpur persinggahan terbesar MCR dalam siri jelajah Asia Tenggara kali ini.
Pujian wajar diberikan kepada penganjur, Hello Universe yang berjaya merealisasikan penantian panjang peminat selepas konsert berkenaan ditangguhkan daripada tarikh asal pada 30 April dan 1 Mei lalu.
Apatah lagi, penangguhan berkenaan sempat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembeli tiket mengenai kelangsungan persembahan yang dinanti-nantikan itu.
Memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam, MCR membawa penonton menyelami dunia imaginasi album ikonik, The Black Parade yang diterbitkan pada 2006 menerusi konsep penceritaan teaterikal dan sarat emosi.
Dalam segmen pembukaan Medication Time / Anthem, Gerard Way, Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way tampil dengan pakaian seragam kelabu lusuh, menghidupkan suasana seakan-akan berada dalam sebuah institusi rawatan.
Selepas melalui babak menelan ubat-ubatan, setiap anggota mencapai instrumen masing-masing sebelum membuka persembahan dengan lagu The End, sekali gus membawa penonton memasuki naratif album berkenaan.
Keunikan persembahan turut diperkukuh menerusi watak lakonan beberapa pelakon iringan termasuk Nurse Sylvia dan The Clerk. Gerard serta anggota lain kekal menghayati karakter masing-masing, menjadikan persembahan lebih menyerupai sebuah pementasan muzik berbanding konsert rock konvensional.
Antara lagu yang mencetuskan sorakan paling gemuruh ialah The Sharpest Lives, Welcome To The Black Parade dan I Don't Love You.
MCR kemudian meneruskan perjalanan menerusi segmen A Gift dengan rangkaian lagu Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted, Famous Last Words, The End sebelum menutup bahagian berkenaan dengan Blood.
Alunan serentak puluhan ribu penonton sepanjang persembahan lagu daripada album The Black Parade membuktikan karya berkenaan masih mempunyai tempat istimewa dalam ingatan peminat, meskipun sudah hampir dua dekad diterbitkan.
Menariknya, penonton yang memenuhi stadium bukan hanya terdiri daripada generasi milenial, malah turut disertai peminat lebih muda yang membesar dengan muzik MCR.

Penampilan mereka juga menjadi sebahagian daripada tarikan tersendiri apabila ramai memilih gaya gothic glam dengan rona hitam dan merah, jaket ala pancaragam serta solekan dramatik yang seiring dengan identiti kumpulan itu.
Selepas berehat seketika, MCR kembali menghangatkan pentas menerusi Give 'Em Hell, Kid, Na Na Na dan Our Lady of Sorrows, sebelum menyambung persembahan dengan Sing, Bury Me In Black, Ambulance dan Cemetery Drive.
Suasana semakin membara apabila kumpulan itu mengalunkan Helena dan I'm Not Okay (I Promise), sebelum kejutan istimewa menerusi Demolition Lovers daripada album sulung mereka, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love yang diterbitkan pada 2002.
Menariknya, senarai lagu pada malam kedua turut menampilkan kelainan menerusi segmen akhir dengan pilihan seperti Planetary (GO!), Thank You for the Venom, The World Is Ugly, Vampire Money, Deathwish, Save Yourself dan The Kids from Yesterday.
Kepulangan MCR ke Kuala Lumpur turut membawa makna tersendiri apabila Gerard mengimbas kunjungan terakhir mereka ke Malaysia pada 9 Disember 2007 menerusi konsert The Black Parade Tour di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 penonton.
Dalam ucapan kepada peminat, Gerard turut menghargai kesetiaan mereka yang sanggup menunggu begitu lama, termasuk selepas konsert berkenaan dijadualkan semula.
"Kami pernah ke sini 19 tahun yang lalu, betul? Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula, tetapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami," katanya.
Lebih manis, kumpulan tempatan, Pop Shuvit yang popular menerusi lagu Marabahaya sekali lagi diberi kepercayaan sebagai artis pembuka tirai, mengulangi pengalaman sama ketika MCR mengadakan persembahan di Malaysia pada 2007.
Menerusi hantaran di Instagram, Pop Shuvit meluahkan rasa bangga apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah berkenaan buat kali kedua selepas hampir dua dekad.
"Pada 2007, kami menjadi artis pembuka untuk My Chemical Romance. Pada 2026, kami berpeluang melakukannya sekali lagi.
"19 tahun. Band yang sama, yang membesar bersama kami dan menjadi idola sejak dulu. Perasaan berdebar yang sama sebelum melangkah ke pentas, dan entah bagaimana, kami kembali berdiri di pentas itu bersama rakan-rakan kami," menurut hantaran itu.
Pop Shuvit yang turut menampilkan Emmett Roslan daripada Butterfingers berkata, pengalaman dua malam berkenaan mengembalikan kenangan zaman muda, apatah lagi melihat peminat datang dari pelbagai negara dengan penampilan istimewa untuk meraikan muzik MCR.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang menyanyi, melompat, merakam dan menghayati setiap detik persembahan, selain menyifatkan pengalaman itu sebagai kenangan yang akan terus dibawa untuk tempoh 19 tahun akan datang.