Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Krisis peperangan, kemarau dan keadaan politik tidak menentu sejak Afghanistan diambil alih Taliban sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.
Malah, lebih 22 juta rakyat Afghanistan bakal menghadapi krisis makanan serius pada musim sejuk yang akan bermula tidak lama lagi.
Susulan itu, Muslim Care Malaysia (MCM) menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta dalam tempoh sebulan menerusi kempen Tabung Kemanusiaan Afghanistan Care4Afghan.
Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, berkata MCM sudah berjaya mengumpul RM1 juta pada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Afghanistan Care4Afghan diperkenalkan pada September lalu.
Katanya, inisiatif mewujudkan tabung bagi membantu jutaan rakyat Afghanistan yang hidup menderita dan hidup dalam kemiskinan.
"Keadaan diburukkan lagi apabila bantuan kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar disalurkan kepada rakyat Afghanistan yang masih bergantung dengan bantuan luar.
"Selama 40 tahun Afghanistan menghadapi krisis peperangan berpanjangan menyebabkan banyak kemusnahan harta benda, kecederaan, kehilangan nyawa, pekerjaan, terputus bekalan makanan dan sebagainya," katanya ketika majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan Care4Afghan, baru-baru ini.
Turut hadir, Duta Muslim Care Malaysia, Heliza Helmi dan barisan selebriti lain seperti Hafiz Hamidun, Hazwani Helmi, Marc Sadique dan Fakhrul UNIC.
Zulkifli berkata, kurangnya pendedahan media antarabangsa menyebabkan masyarakat dunia tidak mendapat maklumat sahih mengenai penderitaan dilalui jutaan rakyat Afghanistan.
"Susulan itu, MCM mula menjalankan kempen kesedaran terhadap isu Afghanistan dengan mengadakan sesi webinar mengenai keadaan terkini negara itu.
"Kami juga melancarkan kempen kemanusiaan ini melalui media sosial dan portal berita tempatan.
"MCM menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM2 juta untuk diagihkan dalam bentuk bantuan makanan dan keperluan asas di setiap wilayah yang terjejas teruk.
"Bantuan hasil keprihatinan rakyat Malaysia turut membabitkan pembinaan masjid dan sekolah empat tingkat yang sudah bermula dibina," katanya.
Terdahulu, MCM pernah membantu mangsa bencana dan perang di Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja selain aktif membantu umat Islam di Palestin sejak 2009.
Sementara itu, penyanyi Heliza Helmi yang dilantik sebagai Duta Muslim Care Malaysia berkata, dia hanya mengetahui mengenai keadaan yang menimpa rakyat Afghanistan menerusi kaca televisyen (TV).
Justeru, penyanyi berusia 35 tahun itu berharap, dapat terbang ke Afghanistan bagi meninjau penderitaan ditanggung.
"Insya-Allah, saya memang berhasrat ke Afghanistan dan melihat sendiri kesengsaraan mereka. Saya hanya mengetahui serba sedikit mengenai Afghanistan dengan menonton TV.
"Selebihnya, apa yang berlaku tidak diketahui. Sama juga seperti apa yang berlaku di Syria dan Palestin. Selepas ke sana barulah saya melihat penderitaan yang ditanggung," katanya.
Penyanyi bermata galak itu berkata, pengalaman berada di Syria dan Wilayah Gaza cukup memberikan pengajaran buatnya.
"Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh bertahan tanpa makanan dalam cuaca yang sejuk.
"Biarpun diuji dengan dahsyat, tetapi akhlak tetap bagus. Walaupun kelaparan, mereka sanggup berkongsi makan dengan rakan lain," kata Heliza yang mula aktif dengan misi kemanusiaan sejak 2010.
Heliza yang pernah menyertai misi bantuan ke Palestin dan Syria berkata, dia tidak pernah jemu melakukan kerja amal, malah berasakan apa yang dilakukan masih belum cukup.
"Jika boleh saya ingin berterusan melakukan kerja amal. Bagi saya, apa yang dilakukan masih belum maksimum lagi. Mudahan Allah terima apa yang saya lakukan.
"Mungkin saya merasakan apa yang dilakukan sudah cukup, tetapi saya tahu bagaimana pula di mata Allah. Memang banyak risiko yang harus ditanggung, namun, apabila dapat membantu orang, ia memberikan saya kebahagiaan yang tidak mungkin dikecapi di mana-mana," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu kempen Tabung Kemanusiaan Afghanistan Care4Afghan dan mendapat maklumat lebih lanjut boleh menghubungi Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail atau Exco MCM, Ahmad Safuan Ujar.