Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Mat Kilau kutip RM47 juta, tewaskan rekod Munafik 2

04 Jul 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof bagai hilang kata-kata apabila karya epik pertamanya mencecah RM47 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

Malah, bapa kepada dua cahaya mata itu juga tidak menyangka angka berkenaan hampir mengatasi kutipan filem Munafik 2 sebanyak RM48 juta pada 2018.

"Saya takjub dengan sambutan luar biasa ini. Malah, filem Mat Kilau berjaya mengenepikan filem Hollywood hebat seperti Top Gun Maverick dan Elvis untuk minggu kedua.

"Sokongan diterima ini sesuatu tak dijangka. Malah, melihat angka kutipan meningkat sehari demi hari, ia buat saya jadi lebih terharu.

"Takkan terjadi semua ini tanpa sokongan penonton dari Malaysia, Brunei dan Singapura yang tak putus-putus menyerbu pawagam," katanya kepada BH Online.

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan disifatkan filem tempatan terpantas memperoleh kutipan RM47 juta dalam tempoh 11 hari.
Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan disifatkan filem tempatan terpantas memperoleh kutipan RM47 juta dalam tempoh 11 hari.

Anak pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam itu juga melihat kejayaan luar biasa itu sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya.

"Majulah filem bangsa dan negara. Semoga pengisian dalam filem Mat Kilau akan terus menyuntik semangat istimewa dalam diri kita.

"Sebuah naskhah filem yang 'baik' pasti akan diterima masyarakat. Dan, majoriti masyarakat akan menghargainya tanpa perlu dipaksa.

"Kepada yang mengkritik, saya terbuka. Biarkan, kritikan normal dalam pembikinan filem. Kita sebagai pembikin filem kena lebih bijak daripada mereka," katanya.

Diterbitkan Studio Kembara Sdn Bhd, kos pembikinan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berdasarkan fakta sejarah ini bernilai RM8 juta.

Naskhah yang sarat dengan elemen cintakan agama, bangsa dan tanah air ini dibintangi pelakon seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As'ari, Yayan Ruhian dan ramai lagi.