Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja, Masya Masyitah, berharap single Halimunan mampu menaikkan kembali namanya dalam arena seni suara.
Lagu ciptaan Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham itu baru saja dilancarkan pada 5 Oktober lalu.
Menurut artis berusia 18 tahun itu, dia cukup teruja dengan sokongan yang diterima oleh lagu berentak rancak berkenaan, saat ini.
“Ketika jumlah tontonan video muzik rasmi lagu berkenaan mencecah 100,000, beberapa hari lalu, ia sudah pun membuatkan saya teruja dan pada masa sama terkejut.
“Kini, dalam masa seminggu, video itu sudah pun ditonton lebih 200,000 kali. Saya berharap, ia terus mendapat perhatian ramai dan menaikkan semula nama saya dalam bidang seni suara,” kata gadis berasal dari Kulim, Kedah ini.
Bercerita mengenai lagu baharunya itu, Masya atau nama penuhnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff berkata, ia mengisahkan seorang lelaki yang mempermainkan hati gadis dikenalinya.
“Selepas berusaha memikat hati gadis berkenaan hingga berjaya, lelaki itu meninggalkannya begitu sahaja. Namun, gadis itu seperti tidak kisah dengan apa yang terjadi dan segera membuka buku baharu,” katanya.
Sebelum Halimunan, juara Ceria Popstar 2014 itu pernah muncul dengan single berjudul Teman Bintang selepas program terbabit berakhir.
“Selepas itu, selain menyanyi, saya ada juga mencuba bidang lakonan menerusi drama dan telefilem, seperti Puasa Oh Puasa, Raya Oh Raya serta Masya Alisya.
“Kemudian saya memperlahankan rentak seni untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran. Tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia, saya muncul dengan single kedua, Mawar Terbiar, yang kini hampir mencecah 2 juta tontonan di YouTube,” katanya yang bercita-cita menembusi pasaran muzik negara China.
Sementara itu, Masya meluahkan kesyukuran apabila diundang menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Pada acara terbabit, Masya mempersembahkan Di Matamu bersama penyanyi lagu berkenaan, Sufian Suhaimi.
“Bagi penyanyi yang boleh dianggap baharu seperti saya, yang masih bertatih dalam industri seni, undangan menjayakan persembahan pada ABPBH 31 cukup dihargai.
“Ia bukan sekadar sebuah majlis amat berprestij sejak dulu lagi, malah menjadi medan yang memberikan pendedahan terbaik untuk saya dalam bidang hiburan tanah air.
“Saya turut menerima pujian dan komen positif daripada netizen selepas acara itu berakhir. Begitupun, saya perlu belajar lebih banyak lagi, terutama dalam memperbaiki mutu vokal. Jauh lagi perjalanan saya di persada seni,” ujar Masya.