Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Enggan membazir bahan mentah yang dibeli bagi majlis perkahwinan pelanggan yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, pelakon Fazreen Rafi membuat keputusan memasak secara sukarela untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang.
Sewaktu menerima panggilan telefon daripada pelanggan yang membatalkan tempahan katering untuk 1,000 tetamu, Fazreen mengakui, dia kebuntuan.
Katanya, ini berikutan semua bahan mentah sudah dibeli. Lebih memburukkan keadaan apabila kantin tempat menyimpan barang mentah di Sekolah Rendah Agama (SRA) Meru mengalami gangguan elektrik.
"Pelanggan yang juga guru besar SRA Meru minta saya menyimpan bahan mentah hingga minggu depan.
"Namun, barang mentah tidak boleh disimpan lagi disebabkan bekalan elektrik terputus.
"Saya ligat memikirkan apa yang boleh dilakukan agar tidak membazir. Secara kebetulan, SMK Meru terletak bersebelahan dengan SRA Meru dan dijadikan PPS. Jadi, saya dapat idea masak bahan mentah kenduri kahwin ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
"Saya terus menghubungi isteri minta memaklumkan kepada pekerja bagi membantu memindahkan barang dari SRA Meru ke SMK Meru. Dan minta mereka bantu saya memasak untuk mangsa banjir," katanya kepada BH Online.
Mulanya, Fazreen berkata, seramai 10 pekerjanya terdiam ketika dimaklumkan perlu bekerja tanpa gaji.
Namun, katanya, mereka jadi bersemangat apabila melihatkan senyuman mangsa banjir ketika mengagihkan makanan. Malah, pekerja pula menawarkan diri membantu pada hari-hari berikutnya.
"Mungkin seronok dapat bantu dan menggembirakan hati mangsa. Lagipun, mangsa banjir ini sudah semalaman tidak makan dan kelaparan. Jadi, mereka sangat bersyukur disediakan makanan.
"Hati saya pula rasa terharu melihatkan kesungguhan pekerja. Kemudiannya, saya muat naik hantaran di Instagram (IG), di mana saya katakan pekerja bekerja secara sukarela. Sekiranya ada pihak sudi menghulurkan sedikit sumbangan buat mereka, amat dialu-alukan.
"Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas hantaran dimuat naik, saya menerima mesej langsung daripada dua individu yang berbesar hati menyumbangkan sejumlah RM2,000 diberikan kepada pekerja.
"Saya memberikan RM200 pada setiap pekerja, sudah tentu mereka jadi lebih bersemangat," kata Fazreen.
Selain pekerjanya, pelakon yang dikenali menerusi drama Spa Q itu terharu sikap rakyat Malaysia yang disifatkan pemurah.
"Ada yang menawarkan menanggung kos kerugian berikutan pelanggan terpaksa membatalkan majlis pada saat akhir.
"Memang saya menggunakan wang sendiri membeli bahan mentah bagi majlis perkahwinan ini. Mulanya buntu juga kerana tidak minta wang pendahuluan memandangkan pelanggan adalah orang yang rapat dengan saya.
"Namun, Alhamdulillah, pelanggan membayar semua wang kos membeli bahan mentah pada hari ketiga. Sebenarnya, ada juga menawarkan membayar ganti rugi.
"Bukan itu sahaja, saya langsung tidak mengeluarkan duit sendiri untuk mangsa banjir di PPS. Setiap hari, ada sahaja individu menghantar bahan mentah seperti ayam, beras, sayur-sayuran dan sebagainya," katanya.
Fazren berkata, temannya, Ashraf Muslim antara salah seorang insan pemurah yang menghantar kira-kira 50 ayam dan sayur-sayuran kepadanya.
Setiap hari, katanya, dia bersama pekerja memasak sebanyak 5,000 pek makanan yang tidak terhad kepada mangsa di PPS SMK Meru, tetapi turut diagihkan ke kawasan sekitar seperti Ijok, Taman Sri Muda dan beberapa kawasan lain.
"Namun, mereka perlu datang sendiri mengambil makanan yang dimasak untuk kawasan lain.
"Kami tidak menyediakan pasukan yang boleh menghantar. Tetapi, boleh dikatakan ada sahaja kenderaan pacuan empat roda datang mengambil makanan untuk mangsa banjir di tempat lain.
"Banyak bantuan lain diterima termasuklah lampin pakai buang, toto dan makanan kering. Antara artis tidak ketinggalan menghulurkan bantuan barangan seperti Fad Bocey dan Achey.
"Saya terharu melihat sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan sangat prihatin. Kini, saya sudah menghentikan khidmat memasak berikutan lambakan makanan basi di sesetengah kawasan," katanya.
Akuinya, dia juga berhenti menerima barangan kerana tidak mahu memegang amanah.
"Ada yang masih menghantar, jadi saya terpaksa terima.
"Sekarang, saya kena fokus membersihkan kantin sekolah yang diusahakan kerana sekolah bakal dibuka, tidak lama lagi," katanya.