BERITA ABPBH

Mamat tiada dalam konsert Slam x Exists

26 Nov 2026 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Mamat sebagai vokalis Exists dalam konsert Slam x Exists: The Greatest Hits pada 1 Mei depan bukan petanda penyanyi itu disisihkan, sebaliknya kumpulan berkenaan masih menyimpan perancangan lain bersamanya.

Pemain bes Exists, Musa, berkata Mamat tetap mempunyai tempat istimewa dalam kumpulan itu dan akan terbabit dalam beberapa projek persembahan yang sudah dirancang serta dipersetujui.

Katanya, keputusan tidak membabitkan Mamat dalam konsert anjuran Icon Entertainment bersama SS Karya Entertainment itu dibuat berdasarkan konsep persembahan yang pernah dijayakan sebelum ini.

"Kita pernah mengadakan persembahan dengan konsep sama bersama Slam di Kuala Lumpur dan Singapura. Ketika itu, Mamat juga tidak terbabit.

"Jadi, untuk projek kali ini, kita meneruskan perancangan sama. Cuma, kita sendiri belum tahu idea lain yang akan dicetuskan atau diketengahkan selepas ini," katanya pada sidang media konsert Slam x Exists: The Greatest Hits di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Menurut Musa, Exists mahu memastikan setiap persembahan yang dirancang mempunyai variasi tersendiri, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada peminat.

Katanya, Mamat antara kelainan yang disimpan untuk projek akan datang, memandangkan penyanyi itu masih mempunyai peranan penting bersama kumpulan.

"Kita menganggap Mamat sebagai satu 'peluru' yang masih disimpan. Maknanya, kita tidak mahu membuka semua kad yang ada terlalu awal.

"Jadi, Mamat adalah antara kelainan yang kita simpan untuk projek akan datang," katanya.

Musa berkata, Mamat memahami keputusan Exists untuk tidak membawanya bersama dalam konsert berkenaan, meskipun kumpulan itu seboleh-bolehnya mahu melibatkannya dalam setiap aktiviti.

Katanya, beberapa projek lain termasuk persembahan makan malam sudah dirancang bersama Mamat dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, Mamat juga memahami situasi ini. Sebenarnya, jika boleh, kita memang mahu melibatkannya dalam setiap aktiviti atau projek yang dijalankan.

"Namun, dia faham dengan perancangan kali ini. Walaupun tidak terbabit dalam konsert ini, dalam masa terdekat ada beberapa projek lain seperti persembahan makan malam yang akan kita jayakan bersama.

"Malah, sudah ada dua atau tiga projek yang disahkan membabitkan Mamat bersama kita," katanya.

Konsert Slam x Exists: The Greatest Hits dijangka mengangkat karya ikonik kedua-dua kumpulan yang terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini.

Tiket konsert mula dijual di platform ticket2u pada 1 Disember ini, jam 3 petang.