BERITA ABPBH

Mama Norlia aktif buat ulasan produk

09 Oct 2025 | Siti Rohana Idris

KOTA BHARU: Tidak menjadikan usia sebagai halangan untuk aktif dalam media sosial, bintang veteran, Norlia Ghani, 77, memanfaatkan platform itu sebagai kerjaya sampingan.

Mengakui masih menerima tawaran berlakon, namun bayaran ditawar didakwa sangat kecil dan tidak setimpal, Norlia kini aktif mencari rezeki dengan memberi ulasan berbayar (paid review) untuk pelbagai produk dan perkhidmatan.

Mesra disapa mama, Norlia menerima apa sahaja produk atau perkhidmatan, termasuk pengusaha makanan yang menginginkan produk mereka dibuat ulasan.

Namun, Norlia memfokuskan pengusaha yang beroperasi di Selangor sahaja kerana beliau menetap di negeri itu.

"Memang kurang show sekarang, tetapi mama buat paid review. Apa-apa produk atau servis mama terima, tiada hendak demand.

"Kami ada kumpulan dan memang seronok buat kerja macam ini. Komitmennya berbeza dengan berlakon," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam sempena program Jelajah Santai Artis Seni Kreatif di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai karier lakonan, Norlia berkata, beliau sering ditawar watak sebagai ibu atau nenek di mana ramai pelakon lain yang mampu membawa karakter itu dengan baik. Keadaan itu menyebabkan persaingan agak sengit.

Sehubungan itu, Norlia tidaklah terlalu mengharapkan rezeki dalam bidang lakonan. Namun, Norlia masih belum meletakkan noktah dalam bidang seni yang sudah diceburi lebih 50 tahun lalu.

"Rindu untuk berlakon memang ada, tengoklah kalau ada rezeki, adalah," katanya yang masih menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras.

Norlia tetap berharap agar permohonannya berpindah ke mana-mana PPR yang lebih dekat dengan ibu kota dapat disegerakan.

Ditanya mengenai hubungan bersama bekas menantunya, komposer, Sharon Paul, 48, Norlia berkata, mereka masih baik dan berhubung serta bertanya khabar melalui telefon.

Tambah Norlia, anaknya, iaitu pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli, 55, sibuk dengan filem terbaharu yang bekerjasama dengan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

"Saya dan Sharon masih berhubung sebab ada dua cucu. Mama tidak tahu masalah mereka (Sharon dan Rusdi) sebab tak heboh, mereka selesai sendiri," katanya.

Julai lalu, Sharon, 48, mengesahkan bercerai dengan Rusdi selepas tidak menemui penyelesaian membabitkan isu dan permasalahan kedua-dua belah pihak.